KEMALANGAN membabitkan van kilang di 151.4 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Bukit Tambun. FOTO ihsan bomba
KEMALANGAN membabitkan van kilang di 151.4 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Bukit Tambun. FOTO ihsan bomba
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Sepuluh pekerja kilang termasuk pemandu cedera selepas van dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 151.4 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Bukit Tambun, Juru, di sini, pagi tadi.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Azhar Samsudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.38 pagi berhubung insiden itu.

Menurutnya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.

"Sebaik tiba di lokasi didapati sebuah van terbabas dan melanggar tiang.

"Insiden itu menyebabkan pemandu tersepit di dalam kenderaan, dua mengalami kepatahan manakala tujuh lagi cedera ringan.

"Pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan mangsa yang tersepit dikeluarkan pada jam 7.34 pagi tadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua mangsa diberikan rawatan awal oleh pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.

"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.47 pagi dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 10:51 AM