MOHAMED Ghazali (empat kanan) bersama sebahagian pelajar dua sekolah terpilih pada program portal pendidikan NSTP di Johor Bahru, semalam.
MOHAMED Ghazali (empat kanan) bersama sebahagian pelajar dua sekolah terpilih pada program portal pendidikan NSTP di Johor Bahru, semalam.
Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Dua sekolah di Johor menjadi sekolah perintis yang menerima pakej portal pendidikan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) baru, Kelas FullAMark (FullAMark Class) yang dilancarkan, semalam.

Kelas FullAMark adalah pakej lanjutan terbaru daripada portal pendidikan ulung NSTP, FullAMark yang boleh digunakan pelajar dalam kumpulan yang sama serta membolehkan guru memberi seliaan dan kawalan terbaik terhadap kumpulan pelajarnya.

Program Sekolah Perintis FullAMark itu turut mendapat kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) membabitkan sekolah terpilih sekitar negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ Datuk Mohamed Ghazali Mohamed Yusof berkata, pihaknya menyokong penuh inisiatif dibuat NSTP kerana membantu pelajar khususnya yang berada dalam golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Kami menyokong inisiatif ini kerana kita memandang berat isu pertama dan kita mahu membantu golongan B40 selain kita lihat anak-anak muda ini mempunyai banyak bakat dan kebolehan, tetapi tiada peluang diberikan.

“Ini satu projek dalam talian yang boleh menjadikan pelajar kita mengubah suai kehendak mereka dalam pembejalaran. Mereka boleh mengembangkan cara berfikir dan pengetahuan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan pakej terbaru Kelas FullAMark itu kepada dua sekolah perintis terpilih iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Langsat dan Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) oleh Pengurus Besar Pemasaran NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi di tapak Karnival Jom Heboh di Angsana Johor Bahru Mall, semalam.

Selain itu, Mohamed Ghazali berkata, YRZSNJ yang ditubuhkan pada 2012 dan aktif pada 2014 itu sememangnya meletakkan matlamat mereka untuk membantu rakyat Malaysia khususnya di peringkat persekolahan untuk menyedarkan mereka perlu aktif dalam semua aspek, bukan saja pelajaran, tetapi kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.

“Kita mahu menekankan sesuatu nilai dalam generasi muda untuk mengaktifkan diri mereka. Kita beri bantuan, biasiswa, lakukan aktiviti sosial untuk meningkatkan pemikiran mereka menjadi bertaraf antarabangsa,” katanya yang meletakkan sasaran 5,000 pelajar pada masa akan datang untuk beroleh manfaat daripada program di bawah YRZSNJ.

Sementara itu, Farah Ezrin berkata, dengan Kelas FullAMark, ia boleh meningkatkan tahap interaksi guru yang memerlukan lebih penguasaan dinteraktif.

Katanya, guru boleh kemas kini soalan tersendiri sebagai tambahan kepada soalan sedia ada di portal yang mana boleh menfokuskan kepada proses pembinaan yang dinamik.

Beliau berkata, dengan kerjasama YRZSNJ, dua sekolah perintis dipilih dan diberi akses pakej terbaru NSTP itu sebelum diperkembangkan ke sekolah lain.

“Dalam projek perintis ini, kita pantau dalam masa tiga bulan dan lihat bagaimana perkembangan guru dan pelajar menerusi penggunaan portal ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 12:13 PM