Kamsiah  menceritakan kepayahan dan kesukaran ditanggung dirinya dan suami kepada cucu mereka ketika bertemu di rumah di Kampung Baru, Bukit Setongkol.
Kamsiah menceritakan kepayahan dan kesukaran ditanggung dirinya dan suami kepada cucu mereka ketika bertemu di rumah di Kampung Baru, Bukit Setongkol.
HM Digital

Kuantan: “Kami sekeluarga pernah terputus bekalan makanan selama tiga hari apabila semua makanan habis dan duit pula tiada.

“Bagi mengelak cucu kelaparan, ada kalanya kami terpaksa makan sayur kangkung masak air saja yang dikutip di belakang rumah. Mujurlah mereka semua faham keadaan dilalui sekarang,” kata Kamsiah Che Isa, 57, di Kampung Baru, Bukit Setongkol, di sini.

Dia berdepan masalah kemiskinan bertanggungjawab menjaga 10 cucu berusia tiga bulan hingga 12 tahun bersama dua anak perempuannya sejak empat tahun lalu.

Ibu kepada lapan anak itu berkata, anak yang lain turut mengalami nasib hampir sama dengannya oleh itu, dia sebolehnya tidak mahu menyusahkan mereka.

“Biar saya tidak makan asalkan cucu yang dijaga sejak kecil ini tidak kelaparan sepanjang hari memandangkan ini masa untuk mereka membesar,” katanya.

Sebelum itu, keluarga berkenaan menerima kunjungan Pertubuhan Kebajikan Tengku Datuk Hisyam 4B (TDH) Pahang yang turut menyampaikan sumbangan.

Kamsiah berkata, keadaanya bertambah ‘sesak’ sejak tujuh bulan lalu selepas dia tidak berupaya menyediakan kuih untuk jualan di beberapa warung berhampiran.

“Sebelum ini saya menjual pulut panggang dibantu anak saya. Walaupun jualan tidak banyak, ia dapat menampung perbelanjaan makan dan minum untuk kami tetapi dengan jumlah ahli keluarga yang ramai, jumlah itu sering tidak mencukupi.

“Kini saya hanya bergantung harap kepada suami (Abdullah Ishak, 40) yang bekerja sebagai pemasang kanopi dengan upah RM5 bagi setiap pemasangan malah pendapatannya juga tidak menentu kerana bekerja jika dipanggil saja,” katanya.

Katanya, apa yang penting ketika ini adalah membayar sewa rumah yang tertunggak tujuh bulan serta bayaran bil air dan elektrik yang mencecah RM2,000 selain yuran persekolahan cucunya.

Kamsiah berkata, dia ada menerima bantuan RM450 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan baucar daripada Pusat Zakat Pahang.

Sementara itu, Presiden TDH Pahang Tengku Datuk Zainul Hisyam Tengku Hussin berkata, keperitan keluarga berkenaan mendapat perhatian pihaknya dan meyerahkan sumbangan keperluan harian serta wang tunai dalam usaha membantu mereka.

Justeru, bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian 014-8391741.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 6:02 AM