BASHAH memberi makan ikan mentah kepada kucing- kucing terbiar di kawasan Sungai Petai. FOTO Nazri Abu Bakar
BASHAH memberi makan ikan mentah kepada kucing- kucing terbiar di kawasan Sungai Petai. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Alor Gajah: Kasih sayang menebal terhadap haiwan mendorong warga emas, Bashah Daud, 66, gigih memberi makanan kepada beratus kucing terbiar setiap hari.

Bashah yang masih bujang dan tinggal di Kampung Sungai Petai di sini, melakukan `tugas' itu sejak lima tahun lalu dengan memberikan ikan mentah yang diambilnya dari kedai runcit.

Dia memberitahu kerap mengambil ikan mentah yang sudah rosak di kedai milik salah seorang peniaga sebelum diagihkan kepada lebih beratus kucing terbiar.

Katanya, dia bersyukur kerana peniaga kedai itu memahami niatnya dan memberi kebenaran mengagihkan ikan kepada kucing kelaparan.

"Saya menggunakan motosikal untuk menghantar ikan ke kawasan kucing jalanan berkumpul berhampiran masjid di sini.

"Selain itu saya turut mengagihkan makanan kepada kucing jalanan di kawasan berhampiran sekolah kebangsaan Sungai Petai, taman perumahan dan kawasan kampung di sini," katanya yang tidak memiliki pekerjaan tetap.

Menurutnya, dia turut memberi makan kepada anjing terbiar dengan lebihan daging atau lemak ayam yang turut diperolehi daripada pemilik kedai.

Katanya, dia berasa gembira dapat memberi makan kepada semua haiwan yang kelaparan itu.

Sementara itu pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan Sungai Petai, Kamsiah Abu, 56 berkata, Bashah konsisten memberi makan kucing terbiar di kawasan berkenaan walaupun dalam keadaan cuaca tidak menentu.

Dia yang sudah berkhidmat sejak lebih 10 tahun di sekolah itu mendapati Bashah akan memanggil lebih 20 kucing di kawasan berkenaan untuk diberi makan.

Katanya, rata-rata kucing itu sudah biasa dan kenal suara dan bunyi motosikal Bashah.

"Semua kucing itu akan segera meluru dan mendekatinya untuk mendapatkan ikan mentah.

Rakannya, Zuraini Salim, 42 berkata, rasa sayang terhadap haiwan mendorong Bashah menyantuni kucing jalanan dengan mencari sumber makanan dan mengagihkannya.

"Kebiasaan Bashah akan tiba di kawasan berkenaan antara jam 10 hingga 11 pagi setiap hari atau dua kali sehari," katanya.

Alor Gajah: 29.4.2023. Naik motor agih ikan dan lemak ayam santuni kucing dan anjing jalanan

Pix 1-Bashah memberi makan ikan mentah kepada kucing- kucing terbiar di kawasan Sungai Petai.FOTO NAZRI ABU BAKAR

Pix 2 – Ikan mentah dan lemak ayam diletakkan di motosikal sebelum diagihkan kepada kucing dan anjing jalanan.FOTO NAZRI ABU BAKAR

Pix 3- Sebahagian ikan mentah dan lemak ayam untuk memberi makan kucing dan anjing jalanan.FOTO NAZRI ABU BAKAR

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 3:24 PM