Nazir Masjid Al-Faizin, Seksyen 28 Dr Mohammad Tawfik Yaakub menyusun dan memeriksa bekalan bahan mentah di rak foodbank di masjid berkenaan. FOTO RUWAIDA MD ZAIN
Nazir Masjid Al-Faizin, Seksyen 28 Dr Mohammad Tawfik Yaakub menyusun dan memeriksa bekalan bahan mentah di rak foodbank di masjid berkenaan. FOTO RUWAIDA MD ZAIN
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: "Kita minta mereka yang kesusahan dan kelaparan, jangan segan, jangan takut masuk ke Masjid Al-Azhariah, Seksyen 18 ini. Datanglah... masjid sentiasa terbuka untuk dapatkan bekalan makanan asas yang diperlukan," ujar Setiausaha Masjid Al-Azhariah Abdul Rahim Abdul Kadir.

Menurutnya, orang ramai sama ada warganegara atau bukan boleh mendapatkan bekalan makanan di rumah ibadat berkenaan.

"Datang pada bila-bila masa, masjid sentiasa terbuka untuk mereka yang memerlukan.

"Bukan setakat makanan asas, pengurusan masjid turut mempelbagaikan sumbangan kepada asnaf serta mereka yang terkesan akibat Covid-19 menerusi program gerobok makanan," katanya.

Abdul Rahim berkata, pihaknya pernah didatangi beberapa individu bukan sahaja dalam kesusahan tetapi kelaparan.

"Kami bawa mereka makan secara percuma di salah sebuah gerai di kawasan masjid oleh jawatankuasa koperasi rumah ibadat ini.

"Di bawah Koperasi Kariah Masjid Al Azhariah Seksyen 18 Berhad, ada pasar mini iaitu Al-Azhariah Mart, inap desa serta 12 gerai peniaga," katanya.

Menurut beliau, koperasi ini menjalankan aktiviti ekonomi bertujuan mewujudkan dana bagi aktiviti di masjid termasuk membantu orang susah melalui gerobok rezeki yang diwujudkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi.

"Dalam tempoh PKP sejak tahun lalu, ramai datang mohon keperluan makanan dan paling menyedihkan apabila ada yang datang bawa anak dalam kelaparan, jadi kita bagi mereka makan di gerai berkenaan dan beri keperluan makanan asas kepada keluarga itu.

"Ada juga bukan warga negara datang ke sini untuk meminta makanan, pun kita bagi juga," katanya.

Menurut beliau, sebahagian besar yang datang adalah penduduk sekitar, asnaf, individu yang diberhentikan kerja tiba-tiba selain terputus bekalan makanan.

Kata beliau, ada penduduk bukan Islam yang terkesan dan tinggal di sekitar masjid juga mengambil keperluan makanan asas di masjid.

"Malah ada juga yang datang kerana anak menantu tidak dapat bekerja disebabkan keadaan sekarang, mereka datang demi cucu, saya tidak dapat bayangkan kesusahan mereka," katanya.

Abdul Rahim berkata, Al-Azhariah Mart sangat membantu gerobok rezeki yang disediakan kerana sebahagian besar makanan asas dibeli di situ sama ada oleh penyumbang secara terus atau pihak masjid sendiri menyediakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 6:35 PM