Norhisyam diberi rawatan selepas ditemui.
Norhisyam diberi rawatan selepas ditemui.
Adnan Ibrahim


Kluang: Kebimbangan seorang isteri berakhir apabila suaminya yang hilang ketika mendaki Gunung Lambak di sini, sejak Rabu lalu, ditemui dalam keadaan selamat, tetapi lemah dan kelaparan oleh seorang wanita yang melakukan aktiviti riadah di kaki gunung berkenaan, pagi semalam.

Mangsa, Lans Koperal Nor hisyam Abdullah, 30, yang hilang selepas mendaki gunung berkenaan pada petang Rabu lalu dijumpai jam 6.45 pagi semalam dalam keadaan tertiarap iaitu hanya lapan meter dari laluan pejalan kaki dan 25 meter dari pintu masuk ke lokasi riadah di kaki gunung itu.

Isteri mangsa, Siti Rafiah Zakaria, 25, berkata, dia lega dimaklumkan petugas di Pusat Operasi dan Menyelamat (SAR) mengenai berita itu pada jam 7 pagi.

Katanya, tiada kata-kata dapat diungkapkan kecuali bersyukur kerana suaminya yang menghidap penyakit lelah ditemui selamat, malah tidak cedera kecuali lemah dan kelaparan.

“Ketika saya menemuinya, dia masih tidak boleh bercakap dan hanya menitiskan air mata apabila diberitahu kami merindui serta menyayanginya.

“Buat masa ini, biarlah dia mendapatkan rawatan sepatutnya dan kembali ke rumah sebelum meneruskan tugasnya,” katanya di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini, semalam.

Ibu kepada tiga anak berusia lapan bulan hingga enam tahun itu berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha mencari suaminya sehingga dijumpai semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, mangsa ditemui wanita, Wong Lay Hui, 51, yang beriadah di lokasi berkenaan.

Katanya, wanita terbabit menghubungi HEBHK untuk mendapatkan bantuan sebelum memaklumkan penemuan itu ke pusat SAR terletak 150 meter dari tempat penemuan.

“Mangsa dirawat di Zon Merah Unit Kecemasan hospital berkenaan. Bagaimanapun, dia dilaporkan stabil cuma trauma dan keletihan selepas tidak makan atau minum selama empat hari,” katanya.

Muhamad berkata, pihaknya menunggu sehingga keadaan mangsa stabil dan boleh berinteraksi sebelum membuat soal siasat untuk mengetahui punca kehilangannya.

“Orang ramai diharapkan tidak memberi spekulasi tidak berasas tanpa sebarang bukti yang boleh menyentuh perasaan keluarga mangsa melalui media sosial,” katanya.

Muhamad berharap kejadian itu menjadi iktibar kepada semua khususnya mereka yang suka mendaki gunung supaya berhati-hati, selain membawa rakan ketika beriadah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 9:08 AM