PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Mohmad Salleh (tiga, kiri) menunjukkan dadah ganja yang dirampas pada sidang media di IPK Kedah hari ini. FOTO Zuliaty Zulkifli
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Mohmad Salleh (tiga, kiri) menunjukkan dadah ganja yang dirampas pada sidang media di IPK Kedah hari ini. FOTO Zuliaty Zulkifli
Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN seorang lelaki membawa 527.9 kilogram (kg) ganja bernilai RM1.58 juta di dalam kereta Toyota Alphard untuk dihantar ke Kuala Lumpur, mengundang padah apabila dia ditahan polis di persimpangan lampu isyarat di Kuala Kedah, Alor Setar, semalam.

Susulan penahanan suspek berusia 33 tahun itu, polis kemudian menahan tiga lagi lelaki berusia 20-an yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, penahanan suspek susulan operasi dan risikan dijalankan JSJN Bukit Aman yang turut disertai Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) dengan kerjasama JSJN Kedah untuk membanteras kegiatan penyeludupan dadah.

Menurutnya, operasi itu dijalankan kira-kira 6 pagi hingga 7 pagi selepas polis menerima maklumat ganja itu yang dibawa masuk ke negara ini menggunakan laluan laut dari negara jiran, tiba di muara di Kuala Kedah dengan sebuah bot.

"Siasatan mendapati bot nelayan terbabit sebelum itu transit di Satun, Thailand sebelum tiba di Kuala Kedah.

"Tiga lelaki terbabit kemudian bertindak memindahkan ganja itu ke dalam kereta yang dipandu suspek, sebelum beredar menuju ke Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Mohmad berkata, bagaimanapun kegiatan itu berjaya dipatahkan pihak polis selepas menahan kereta itu di persimpangan lampu isyarat dan pemeriksaan lanjut menemui ganja di dalam bungkusan guni.

"Susulan penahanannya kita kemudian berjaya menahan tiga lelaki yang diupah untuk memindahkan ganja itu dari bot.

"Ujian air kencing juga mendapati tiga suspek positif dadah manakala lelaki yang memandu kereta itu negatif," katanya.

Beliau berkata, semakan juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Hasil soal siasat suspek pertama yang berasal dari Kuala Lumpur mengaku menerima bayaran upah sebanyak RM3,000 untuk sekali penghantaran manakala tiga lagi suspek kita sedang menyiasat berapa banyak upah diterima mereka.

"Suspek direman tujuh hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori," katanya.

Menurut Mohmad, dadah itu adalah untuk pasaran tempatan termasuk Sabah dan Sarawak di mana ini kejayaan terbesar membabitkan rampasan ganja oleh polis tahun ini selepas kejayaan sama tahun lepas di Yan berjaya merampas 1.2 tan ganja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 7:10 PM