Mohd Azam Shah Yaacob


SEBANYAK 176 ketulan ganja mampat bernilai RM528,000 dirampas daripada dua lelaki dalam serbuan dijalankan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman di Plaza Tol Rawang, Lebuhraya PLUS kira-kira 3 pagi semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, kedua-dua suspek berusia 23 dan 35 tahun itu dalam perjalanan dari utara tanah air menuju ke Lembah Klang menaiki dua kereta iaitu BMW 5 Series dan Perodua Myvi.

Katanya, selepas mengekori dua suspek berkenaan, pasukan STING dengan kerjasama JSJN Selangor serta JSJN Kedah berjaya memintas kedua-dua kenderaan berkenaan di Plaza Tol Rawang.

"Aktiviti dua suspek ini dikesan apabila kita mendapat maklumat daripada orang awam. Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota JSJN Kedah kemudian mengekori kenderaan dinaiki suspek sehingga di Plaza Tol Rawang.

"Ketika di plaza tol itu, barulah kedua-dua suspek diberkas dengan kerjasama pasukan STING dan JSJN Selangor yang sudah sedia menunggu," katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.

Mohmad Salleh berkata, hasil pemeriksaan menemui 176 ketulan ganja mampat diletakkan dalam lima beg yang disorokkan di but BMW dinaiki seorang daripada suspek.

Katanya, kesemua ganja berkenaan seberat kira-kira 176 kilogram dipercayai untuk pasaran dadah di Lembah Klang dan dibawa masuk dari sempadan negara melalui jalan tikus.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,bermula semalam sehingga 26 Mac ini.

"Dalam serbuan itu, kita turut menyita BMW digunakan suspek untuk membawa dadah berkenaan serta Perodua Myvi dinaiki seorang daripada mereka," katanya.

Menurutnya lagi, rampasan itu antara rampasan dadah terbesar sejak Januari lalu dan sehingga kini, PDRM sudah merampas lebih satu tan dadah jenis ganja yang keseluruhan bernilai RM22 juta.

"Kesemua 176 kilogram ganja ini mampu untuk memenuhi permintaan bekalan bagi kegunaan 351,000 penagih bagi sekali pengambilan," katanya.

FOTO Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 7:38 PM
MOHMAD Salleh (empat kanan) menunjukkan ganja mampat ketika sidang media. FOTO Asyraf Hamzah
MOHMAD Salleh (empat kanan) menunjukkan ganja mampat ketika sidang media. FOTO Asyraf Hamzah