Kalidevi Mogan Kumarappa


SEORANG suspek cedera terkena satu das tembakan ketika cuba melarikan diri daripada sekatan polis di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), hari ini.

Dalam kejadian 2.15 pagi itu, suspek berusia 33 tahun cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya di Jalan Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, kereta peronda polis mengejar suspek sehingga kawasan Kampung Kayu Ara sebelum suspek memandu semula ke LDP.

"Suspek memandu melawan arus di LDP dan menghala ke Puchong, kemudian kereta suspek melanggar bahu jalan dan berhenti.

"Dia cuba melarikan diri dengan memanjat pembahagi jalan untuk masuk ke persimpangan Jalan SS2/75. Anggota polis melepaskan satu das tembakan dan terkena pada belakang badan suspek," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang beralamat di Damansara Damai, Sungai Buloh, Selangor mempunyai rekod jenayah lampau dan dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah dan curi kenderaan.

"Kereta yang digunakan suspek juga dilaporkan dicuri di Damansara.

"Suspek dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk mendapatkan rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 12:06 PM