Suspek yang berjaya ditahan selepas memandu secara berbahaya dan menghimpit peronda polis. FOTO Ihsan PDRM
Suspek yang berjaya ditahan selepas memandu secara berbahaya dan menghimpit peronda polis. FOTO Ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS menembak tayar sebuah kenderaan pacuan empat roda sebelum menahan seorang lelaki tempatan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran Terowong Penchala, hari ini.

Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, polis terpaksa melepaskan tembakan selepas pemandu kenderaan itu bertindak memecut laju dan menghimpit unit kereta peronda polis (MPV) selepas suspek enggan berhenti untuk diperiksa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan peronda polis (MPV) melihat suspek yang berusia 40 tahun memandu keadaan mencurigakan.

“Anggota polis cuba meminta suspek untuk berhenti bagi melakukan pemeriksaan namun secara tiba-tiba suspek terus memecut lari sebelum dikejar pasukan MPV dari Jalan Kuching menghala Bukit Kiara.

“Ketika memasuki terowong Penchala, suspek membawa kereta secara berbahaya dan beberapa kali cuba menghimpit MPV dan membaling sesuatu dipercayai pemotong besi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shanmugamoorthy berkata, polis terpaksa melepaskan lima das tembakan ke arah tayar kereta lelaki berkenaan hingga menyebabkan kereta suspek terlanggar pembahagi jalan dan berhenti.

“Suspek kemudian keluar dari kereta dan cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan. Pemeriksaan ke atas badan saspek dan menjumpai dadah jenis eramin 5.

“Suspek mengalami cedera ringan di bahagian muka dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk tindakan susulan,”katanya.

Katanya, semakan awal mendapati lelaki berkenaan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

“Siasatan berhubung kejadian kini masih diteruskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 9:01 PM