POLIS melakukan siasatan di lokasi kejadian  di Lebuhraya Damansara-Puchong.
POLIS melakukan siasatan di lokasi kejadian di Lebuhraya Damansara-Puchong.
Kalidevi Mogan Kumarappa


Petaling Jaya: Sengaja cari bala! Itu nasib dialami seorang penjenayah yang ditembak polis selepas bertindak agresif memandu kereta melawan arus hingga boleh membahayakan nyawa orang ramai.

Dalam kejadian jam 2.15 pagi semalam, suspek berusia 33 tahun cuba melarikan diri sejurus terserempak sekumpulan anggota polis yang sedang melakukan sekatan jalan raya di Jalan Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail di sini.

Suspek yang memandu kereta curi model Honda City kemudian membuat pusingan U sebelum memecut lari.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, kereta peronda polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bertindak mengejar kereta suspek sehingga ke kawasan Kampung Kayu Ara.

Bagaimanapun suspek cuba melarikan diri dengan memasuki laluan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

“Suspek melakukan tindakan bahaya dengan memandu secara melawan arus di lebuhraya itu menghala ke Puchong.

“Bagaimanapun kereta suspek terbabas dan melanggar bahu jalan sebelum berhenti.

“Suspek kemudian cuba melarikan diri dengan memanjat pembahagi jalan untuk masuk ke persimpangan Jalan SS2/75,” katanya.

Mohd Zani berkata, anggota polis kemudian melepaskan satu das tembakan ke bahagian bahu suspek.

“Suspek kemudian berjaya diberkas sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk menerima rawatan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek memiliki rekod jenayah berhubung kes pecah rumah dan curi kenderaan,” katanya.

Menurutnya, semakan rekod kereta yang dipandu suspek juga mendapati kereta itu dilaporkan dicuri di Damansara sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 4:08 AM