GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Pihak berkuasa terpaksa melepaskan satu das tembakan di bahagian tayar kereta Proton Satria selepas pemandunya cuba merempuh anggota polis sedang bertugas dalam kejadian di Kampung Sungai Kayu Ara, Damansara Utama, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian anggota polis dari Balai Polis Damansara yang mengejar kereta berkenaan di Jalan Anggerik Kampung Sungai Kayu Ara jam 2.25 petang.

"Dalam kejadian itu, anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan di bahagian tayar hadapan sebelah kanan kereta itu kerana (pemandunya) bertindak agresif apabila cuba melanggar anggota bertugas.

"Malah, ketika pihak polis mengejar kereta berkenaan, suspek juga bertindak memandu melawan arus di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) sebelum berhenti di tepi jalan berhampiran sebuah gereja di SS25.

"Suspek kemudian keluar dari kereta itu dan melarikan diri melalui longkang berhampiran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, pemeriksaan terhadap kereta yang ditinggalkan suspek di lokasi menemukan pelbagai barangan yang disyaki digunakan untuk kegiatan pecah cermin kereta.

"Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kami percaya suspek masih berada di dalam daerah ini.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang tugas penjawat awam.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek terbabit diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Adam Firdauz Ahmad di talian 012-7565464 untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 6:45 PM