LOKASI kejadian mangsa yang ditembak. FOTO Aswadi Alias
LOKASI kejadian mangsa yang ditembak. FOTO Aswadi Alias
Oleh Zatul Iffah Zolkiply dan Zaid Salim

Kuala Terengganu: Seorang lelaki cedera di bahu kanan akibat terkena beberapa das tembakan dalam kejadian di Jalan Hiliran, di sini, malam tadi.

Mangsa berusia 28 tahun dan sudah berkahwin terkena dua tembakan di bahu kanan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan dilaporkan stabil.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 9.15 malam ketika mangsa dikatakan keluar ke kenderaan Toyota Hilux untuk mengambil kad Astro sebelum terserempak dengan dua lelaki tidak dikenali berhampiran kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, pihaknya percaya berlaku pergelutan sebelum suspek melepaskan beberapa das tembakan.

"Suspek dipercayai melepaskan antara dua hingga tiga das tembakan sebelum dua suspek terbabit dipercayai melarikan diri menaiki Toyota Wish berwarna putih," katanya.

Idris berkata, pihaknya masih menyiasat punca sebenar kejadian dan melakukan sekatan jalan raya di semua laluan keluar dari daerah ini bagi mengesan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 12:00 AM