Zainol Fadzi (tengah) berbincang mengenai runtuhan cerun di Kilometer 140 Jalan Raya Timur Barat, Gerik, hari ini. FOTO DJ Dolasoh
Zainol Fadzi (tengah) berbincang mengenai runtuhan cerun di Kilometer 140 Jalan Raya Timur Barat, Gerik, hari ini. FOTO DJ Dolasoh
D J Dolasoh

KEADAAN cerun runtuh di Kilometer 140, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik masih berbahaya dan dijangka mengambil masa yang lama untuk dibaiki.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Insfrastruktur, Tenaga dan Air negeri Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, ketika ini kerja baik pulih cerun berkenaan tidak dapat dilakukan dengan segera kerana keadaannya tidak stabil.

"Kerja baik pulih dijangka mengambil masa yang lama kerana struktur tanah dan batu di cerun bukit ini mudah terungkai serta masih berlaku runtuhan.

"Buat masa ini hanya kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan termasuk membuang bongkah batu dan tanah yang menutupi jalan setiap kali ia jatuh," katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi kejadian, hari ini.

Menurutnya, setakat ini sebanyak RM200,000 diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan supaya pengguna boleh terus melaluinya dengan hanya satu laluan dibuka.

Katanya, anggaran kos keseluruhan untuk membaiki bukit berkenaan menelan belanja jutaan ringgit.

"Meskipun keadaan agak merbahaya kepada pemandu kenderaan, namun anggota keselamatan turut ditempatkan di lokasi bagi mengawal lalu lintas.

"Dianggarkan sebanyak 2,000 kenderaan dari dua hala iaitu arah Gerik dan Jeli menggunakan jalan JRTB setiap hari dengan alternatif paling dekat adalah melalui Simpang Pulai, Ipoh atau melalui Kuala Lumpur untuk ke Pantai Timur dan sebaliknya," katanya.

Katanya, kejadian pertama runtuhan berlaku pada 23 September lalu apabila bongkahan batu besar jatuh ke atas jalan dipercayai berpunca akibat hujan lebat berterusan di kawasan berkenaan.

"Kejadian runtuhan berulang pada 12 tengah hari 3 Oktober lalu dan 2 pagi tadi. Sehingga kini sebanyak 20 hingga 30 bongkah batu besar dikesan jatuh ke jalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 8:53 PM