Anggota bomba membersihkan dahan pokok yang menghalang laluan di Kilometer 17, JRTB Gerik-Jeli. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba membersihkan dahan pokok yang menghalang laluan di Kilometer 17, JRTB Gerik-Jeli. FOTO ihsan bomba
Muhammad Apendy Issahak


HUJAN lebat mengakibatkan banjir lumpur dan laluan terhalang di Kilometer 17, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik - Jeli di Gerik, petang hari ini.

Dalam kejadian 5 petang itu, laluan kedua-dua arah terhalang akibat lumpur dan dahan pokok yang patah.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Gerik berkata, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati berlaku gelinciran tanah akibat hujan lebat di kawasan terbabit.

"Air hujan dari bukit berhampiran mengakibatkan lumpur melimpah ke jalan raya hingga laluan terhalang.

"Bomba bertindak melakukan pembersihan dengan mengalihkan dahan serta menyembur lumpur di kawasan jalan bagi membolehkan kenderaan lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan ll, Nizam Zakaria itu selesai 7.22 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 9:55 PM