KEADAAN tanah runtuh berhampiran Flat Taman Bukit Saga.
KEADAAN tanah runtuh berhampiran Flat Taman Bukit Saga.
Siti Fatimah Nasir

Ampang: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan arahan pemberhentian sementara kerja projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berikutan kejadian banjir lumpur serta runtuhan bongkah batu pada bukit berhampiran Jalan Saga 28, Taman Bukit Saga, di sini.

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussain berkata, arahan pemberhentian dibuat supaya SUKE dapat mengemukakan laporan kejadian itu kepada pihaknya.

“MPAJ sudah membuat semakan ke atas tapak projek berkenaan dan mendapati terdapat bongkah batu berukuran 1x1 meter (m) jatuh ke kaki cerun yang berlumpur dan menyebabkan berlakunya percikan pada rumah dan kenderaan penduduk.

“Penduduk sekitar Pangsapuri Saga Suria, Ampang juga tidak perlu bimbang kerana kita sudah memberhentikan kerja berkenaan buat sementara waktu supaya langkah keselamatan dan pembaikian dapat diambil,” katanya ketika ditemui pada sidang media Mesyuarat Penuh Bulanan MPAJ di sini, semalam.

Menurutnya, kejatuhan bongkah batu itu bukan disebabkan kejadian tanah runtuh tetapi kerja pembinaan yang sedang dijalankan.

“Hasil siasatan, tebing yang dibina pihak kontraktor pecah disebabkan air yang melalui kawasan cerun berkenaan turun ke kawasan tempat letak kenderaan, sekali gus menyebabkan banjir lumpur.

“Kini, pihak kontraktor juga telah menyediakan benteng penahan untuk pastikan batuan yang terdapat di cerun ini tidak terjatuh dan mengenai premis atau aset terdekat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga meminta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) membuat pemantauan bagi memastikan kontraktor memenuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sekiranya kontraktor berkenaan gagal mematuhi garis panduan ini, kita boleh mengenakan kompaun dan keluarkan notis pemberhentian kerja,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPAJ, Zafrul Fazry Mohd Fauzi berkata, kejadian runtuhan bongkah batu besar yang berlaku itu bukanlah disebabkan kegagalan cerun.

“Batuan yang jatuh adalah disebabkan aktiviti yang dijalankan di atas bukit berkenaan dan bukan disebabkan ada pergerakan atau tanda-tanda kegagalan cerun.

“Hasil pemeriksaan kami, struktur asas di kawasan cerun berkenaan masih kukuh dan seandainya cerun ini tidak kukuh, pihak lebuh raya akan mengambil tindakan dengan membuat penstabilan cerun kerana itu adalah tanggungjawab mereka,” katanya.

Pada 23 Januari lalu, berlaku satu kejadian runtuhan bongkah batu besar dan banjir kilat yang menyebabkan beberapa rumah dan kenderaan penduduk di kawasan itu ditenggelami lumpur dan batu.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, bongkah batu dari tapak projek yang terletak di atas bukit berkenaan jatuh secara mendadak ketika kerja pembinaan sedang dilakukan dari tapak projek SUKE.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa kepada pekerja mahupun penduduk sekitar kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 6:06 AM