GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
BERNAMA

Ipoh: Pengguna jalan raya diminta berhati-hati apabila melalui Jalan Kupang-Gerik-Jeli Jalan Raya Timur Barat (JRTB) yang retak dan mendap akibat tanah runtuh sejak 19 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Awam, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kejadian berlaku kira-kira 6 petang itu membabitkan laluan FT004 di Seksyen 158.60 di sebelah kanan jalan kira-kira tiga kilometer selepas Pusat Perikanan Banding di Gerik.

"Pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) sudah dibuat di lokasi rekahan jalan dan mengalihkan trafik ke laluan yang lebih selamat.

"Laluan kini hanya dibuka satu lorong untuk kedua-dua arah dan lalu lintas dikawal secara 24 jam di tapak oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak konsesi," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mohd Zolkafly berkata, terdapat pergerakan tanah yang baru dikesan di sekitar cerun berkenaan sepanjang 40 meter dan pemasangan kanvas untuk melindungi jalan yang merekah serta mengurangkan runtuhan telah dilaksanakan bagi tindakan jangka masa pendek.

Beliau berkata, kerja pelebaran bahu jalan menggunakan crusher run juga sudah dilaksanakan bagi mengalihkan trafik ke laluan yang lebih selamat.

Katanya, laporan kejadian disediakan JKR Hulu Perak untuk siasatan dan tindakan lanjut sedang dijalankan bagi kerja pembaikan kekal di lokasi terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 5:23 PM