Ahmad Zahid (tengah) diiringi Ismail Sabri (tujuh kanan) bersama dengan wakil ASEAN pada majlis perasmian Mesyuarat Peringkat Menteri-Menteri dan Pegawai Kanan ASEAN mengenai pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan. FOTO  Saifullizan Tamadi
Ahmad Zahid (tengah) diiringi Ismail Sabri (tujuh kanan) bersama dengan wakil ASEAN pada majlis perasmian Mesyuarat Peringkat Menteri-Menteri dan Pegawai Kanan ASEAN mengenai pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan. FOTO Saifullizan Tamadi
Siti Fatimah Hassan


KERAJAAN mengambil pendekatan berbeza untuk melakukan transformasi dan mengubah landskap luar bandar dengan membawa urbanisasi dan pemikiran bandar ke kawasan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bukanlah bermaksud bahawa penduduk luar bandar mempunyai cara hidup yang negatif tetapi usaha berkenaan bertujuan membawa nilai baik dari bandar ke kawasan mereka.

"Sejak Dasar Ekonomi Baharu (DEB) diperkenalkan pada 1970, kadar kemiskinan ketika itu melebihi 60 peratus terutama kemiskinan tegar dan garis kemiskinan berada pada tahap sangat tinggi.

"Namun pada 1990 selepas DEB tamat, kita lihat kadar itu dapat diturunkan melalui pelbagai program transformasi luar bandar. Kini pendekatan kita di Malaysia berbeza kerana kita bukan saja mahu membawa urbanisasi ke luar bandar tetapi membawa pemikiran bandar ke kawasan itu.

"Ini bukan bererti orang luar bandar tidak baik tetapi cara bekerja dan menganalisis sesuatu fakta boleh dilakukan dengan membawa nilai baik di kawasan luar bandar," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Peringkat Menteri-Menteri dan Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Setiausaha Agung ASEAN (Komuniti Sosio-Budaya) Vongthep Arthakaivalvatee.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, beliau berharap Malaysia boleh memainkan peranan dan membina kapasiti khususnya terhadap negara lain di rantau ASEAN.

Katanya, antara contoh yang boleh dilihat oleh negara berkenaan ialah melalui pelaksanaan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang berjaya membawa kemudahan bandar ke luar bandar.

"Contohnya kita mempunyai RTC di mana kemudahan bandar dibawa ke luar bandar dan ia menukarkan kompleks 'gajah putih' untuk dilakukan transformasi.

"Ini contoh yang boleh dilakukan oleh rakan ASEAN untuk lakukan perubahan sama di negara mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 5:03 PM