MOHD Shafie (dua dari kiri) mendengar penerangan produk WCC Jalur Lebar selepas merasmikan Forum ASEAN Mengenai Teknologi Maklumat dan Komunikasi di ibu negara, semalam
MOHD Shafie (dua dari kiri) mendengar penerangan produk WCC Jalur Lebar selepas merasmikan Forum ASEAN Mengenai Teknologi Maklumat dan Komunikasi di ibu negara, semalam
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Masyarakat luar bandar disaran mengambil peluang kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang disediakan kerajaan kerana ia mampu meningkatkan lagi taraf kehidupan serta membantu menjana ekonomi.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, seiring dengan perkembangan semasa, ICT sememangnya diakui sebagai satu keperluan yang mempunyai banyak manfaat selain mampu menyediakan platform kepada masyarakat untuk berhubung dengan dunia luar.

Katanya, menerusi Inisiatif Untuk Merapatkan Jurang Digital (BDDI), kerajaan melaksanakan pelbagai usaha untuk merapatkan lagi perbezaan antara penduduk di luar bandar menerusi kemudahan Internet.

“Soal kemiskinan di negara rantau ASEAN contohnya lebih kritikal dan banyak berlaku kepada masyarakat di kawasan luar bandar.

“Jadi dengan adanya kemudahan ICT, kerajaan berpeluang membantu meningkatkan lagi kualiti kehidupan golongan terbabit, sekali gus memberi peluang ekonomi yang lebih baik,” katanya ketika berucap merasmikan Forum ASEAN Mengenai Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di ibu negara, semalam.

Forum selama tiga hari anjuran bersama kementerian berkenaan dan Institut Kemajuan Desa (INFRA) itu turut mendapat kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ia dihadiri 150 peserta yang terdiri daripada ahli akademik, pegawai diplomatik dan penyelidik dari negara ASEAN dan ASEAN+3 (Korea, China dan Jepun).

Menurut Shafie lagi, ICT juga banyak manfaatnya dalam konteks mengeratkan lagi hubungan antara negara ASEAN di rantau ini.

Kata beliau, sebelum ini hubungan antara negara ASEAN biasanya hanya tertumpu di peringkat kepimpinan saja dan jarang sekali gunakan kaedah berhubung rapat dengan masyarakat luar bandar.

“Penduduk rantau ini dianggarkan mencecah 610 juta dan jika kita dapat jalinkan interaksi antara mereka, hubungan rapat dalam pelbagai bidang terutama perdagangan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak,” katanya.

Sementara itu, Shafie berkata, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang ditubuhkan kerajaan turut menempatkan kios untuk membolehkan penduduk luar bandar mengetahui maklumat terkini mengenai perubatan, peluang pekerjaan dan perniagaan, pinjaman yang diberikan dan sebagainya.

Kata Shafie, di peringkat kampung pula, kerajaan juga mewujudkan lebih 200 mini RTC untuk membolehkan penduduk luar bandar menikmati kemudahan ICT.

Katanya, sesetengah mini RTC itu mempunyai antara 30 hingga 40 komputer yang dilengkapi dengan kemudahan Internet bagi membolehkan penduduk luar bandar berkomunikasi dengan masyarakat luar dan mendapat maklumat yang diperlukan.

“Perkembangan itu adalah satu petanda positif kerana menjadi hasrat kerajaan untuk dapat merapatkan jurang ICT penduduk luar bandar menjelang tahun 2020.

“Saya yakin jika penggunaan dan perkhidmatan ICT dapat ditingkatkan, ia dapat membantu meningkatkan lagi taraf kehidupan masyarakat luar bandar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 5:16 AM