RTC Rembau. FOTO ihsan pembaca
RTC Rembau. FOTO ihsan pembaca

H: Penutupan RTC Rembau arahan Kementerian Pembangunan Luar Bandar

Raja Noraina Raja Rahim

[email protected]

MENTERI BESAR Aminuddin Harun menjelaskan penutupan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Rembau adalah arahan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan bukan keputusan kerajaan negeri.

Katanya, beliau hanya mengumumkan perkara itu selepas menerima arahan daripada kementerian selepas mendapati semua RTC di seluruh negara kurang mendapat sambutan masyarakat.

Beliau berkata, kajian dilakukan mendapati enam jabatan iaitu Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Pejabat Tenaga Kerja, kaunter Majlis Daerah Rembau, Pusat Zakat dan Baitulmal yang dibuka di bangunan berkenaan sudah memiliki pejabat sendiri di Rembau.

“Saya minta maaf kepada masyarakat khususnya di Rembau. Penutupan RTC bukan keputusan kerajaan negeri tetapi Kerajaan Persekutuan.

“Jika masyarakat betul-betul mahu mempertahankan RTC, kita (kerajaan negeri) akan pertimbangkan untuk jadikan mini RTC tetapi kita terpaksa menanggung beban berkenaan.

“Apa yang penting kalau diteruskan kita nak rakyat menggunakan kemudahan itu secara maksima, kita tidak boleh seronok (ada RTC) tetapi tidak ada sambutan daripada masyarakat, kita tidak mahu guna tenaga itu tidak dioptimumkan kerana kita mahu jadi kerajaan yang produktif,” katanya dalam program bual bicara, hari ini.

Aminuddin berkata, beliau bersama beberapa pihak berkaitan akan mengadakan perbincangan Isnin ini, untuk mendapatkan maklum balas lebih lanjut mengenai keperluan sama ada RTC itu dikekalkan atau sebaliknya.

Ditanya keputusan menutup RTC Rembau dan membuka RTC baharu di Jempol kerana politik disebabkan Rembau adalah kawasan pentadbiran pembangkang (Barisan Nasional), Aminuddin sekali lagi menegaskan ia keputusan kementerian bukan pihaknya.

Katanya, pembukaan RTC di Jempol lebih strategik kerana memudahkan penduduk yang kebanyakan dari FELDA menjalankan sebarang urusan dan amat diperlukan oleh penduduk setempat.

“Bukan sebab (Rembau) kawasan BN, sedangkan Jempol juga kubu kuat mereka. Kajian sudah dibuat (kementerian) terpaksa ditutup itu saja saya maklumkan, jika rakyat mahukan, tiada masalah kita akan kaji semula.

“Kita harus melihat ke hadapan dan keperluan sebenar bagi memastikan kemudahan ini benar-benar sampai kepada rakyat.

“Kita mahu kawasan luar bandar juga dibangunkan dan dimajukan. Bagi saya, masyarakat, pemimpin dan pembangkang perlu melihat rasional di sebalik apa yang dilakukan sekarang,” katanya.

Semalam, kira-kira 50 penduduk Rembau berhimpun di hadapan Masjid Jamek An-Nur, bagi menyatakan bantahan penutupan RTC berkenaan sebagaimana yang diumumkan oleh Aminuddin pada Rabu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 9:48 PM