Mohd Husni Mohd Noor


“MEREKA mempunyai niat jahat...ingin menjatuhkan maruah saya....menghina saya serta mempunyai agenda tertentu.”

Itu kenyataan bela diri bekas Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Yusof berkata demikian ketika memberi kenyataan membela diri dari kandang saksi di hadapan Majistret Muhammad Zaki Abd Kudos.

Muhammad Zaki mengarahkan Yusoff membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap kes berkenaan.

Yusoff memaklumkan tindakan dua pegawai penguat kuasa JPJ merakam gambarnya memandu di lorong kecemasan pada 7 Oktober tahun lalu dilihat mempunyai niat jahat untuk menjatuhkannya.

Menurutnya, ini kerana gambarnya yang dirakam memandu kenderaan turut diviralkan di media sosial keesokan harinya.

"Saya dapati mereka berniat jahat pada saya dan beberapa hari kemudian, pejabat Ketua Pengarah (JPJ) dipecah oleh anggota dari bahagian sama.

"Perbuatan ini ada agenda tertentu dan berniat jahat terhadap saya dan pengurusan tertinggi JPJ," katanya.

Pada 25 Julai lalu, Yusoff, 58, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu di lorong kecemasan di dalam kereta bernombor plat BLY 68 di Lingkaran Putrajaya, Putrajaya pada 6.27 petang, 7 Oktober 2016.

Dalam pada itu, Muhammad Zaki turut menetapkan 16 Oktober ini untuk keputusan kes berkenaan.

Sementara itu, Yusoff berkata, beliau bertindak memandu di lorong kecemasan ketika itu kerana berasa bertanggungjawab untuk membuat pemantauan mengenai kesesakan teruk di kawasan itu.

Menurutnya, beliau mendapati terdapat dua anggota JPJ yang memberhentikan kenderaan di bahu jalan sebelum meneruskan pemanduan dan berhenti selepas Plaza Tol Putrajaya untuk menghantar pesanan dalam kumpulan Whatsapp bagi bertanyakan operasi itu.

"Saya bertanyakan mengapa anggota berkenaan membuat operasi di tempat tidak sesuai dan tidak mengikut prosedur kerana ia dilihat menambahkan lagi kesesakan di kawasan itu. Saya menerima balasan pesanan daripada bahagian penguatkuasaan JPJ Selangor yang memaklumkan dua anggota berkenaan bukan dari Selangor sebaliknya dari Ibu Pejabat JPJ Putrajaya," katanya.

Katanya, beliau melihat tindakan operasi itu seperti mahu memerangkap pemandu dan ia juga tidak sesuai dilakukan kerana waktu orang pulang kerja.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan dalam hujahnya memaklumkan biarpun Yusoff ada kuasa untuk melakukan pemantauan lalu lintas namun, beliau masih tertakluk di bawah undang-undang di mana jelas lorong kecemasan tidak boleh digunakan.

Peguam bela, Yusoff Datuk Baljit Singh Sidhu pula berkata, anak guamnya memantau lalu lintas pada hari berkenaan atas dasar tanggungjawab serta memikirkan kepentingan umum.

Sebelum ini, Yusoff didenda RM600 oleh Mahkamah Majistret, di sini pada 18 Julai lalu selepas mengaku salah kerana memandu di lorong kecemasan sebelum menukar kembali pengakuan kepada tidak bersalah pada 25 Julai lalu apabila didakwa semula.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 119 (1) (c) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan 1987 yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 4:31 PM
Yusoff didakwa memandu di lorong kecemasan hadir ke Mahkamah Majistret  Putrajaya untuk keputusan kes hari ini. FOTO Abd Rahim Rahmat
Yusoff didakwa memandu di lorong kecemasan hadir ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk keputusan kes hari ini. FOTO Abd Rahim Rahmat