ANGGOTA APM Pekan melakukan operasi menangkap ular sawa batik seberat 150 kilogram di Kuala Pahang, Pekan. FOTO ihsan APM Pekan
ANGGOTA APM Pekan melakukan operasi menangkap ular sawa batik seberat 150 kilogram di Kuala Pahang, Pekan. FOTO ihsan APM Pekan
Asrol Awang


Kuantan: Kemunculan seekor ular sawa batik seberat 150 kilogram sepanjang kira-kira enam meter mengejutkan pekerja tapak solar di Kuala Pahang, di sini, semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pekan, Kapten (PA) Azam Shah Apearal berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.20 pagi.

Katanya, seramai enam anggota APM bergegas ke tempat kejadian dalam operasi menangkap reptilia terbabit.

"Ketika tiba di tempat kejadian, reptilia terbabit ditemui di dalam parit kawasan tapak solar. Pihak kami mengambil masa kira-kira 25 minit untuk menangkap dan mengeluarkan ular terbabit dari parit.

"Disebabkan sangkar yang dibawa tidak dapat memuatkan ular sawa batik seberat 150 kilogram itu, kami meminta bantuan sebuah lori dari tapak solar untuk menghantar reptilia itu ke pejabat APM Pekan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azam Shah berkata, bagi memastikan reptilia terbabit tidak mengalami tekanan atau mati, pihaknya melepaskan ular sawa terbabit di kawasan hutan di sekitar daerah Pekan pada 12 tengah hari semalam.

"Kami lepaskan ular sawa batik ini di lokasi yang sesuai dan jauh daripada ancaman manusia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 1:53 PM