Siti Fatimah Hassan


PEMBUKAAN jajaran Tun Razak Link (TRL) Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) bermula hari ini dijangka memanfaatkan kira-kira 25,000 pengguna jalan raya setiap hari.

Laluan 9 kilometer (KM) itu bermula di Jalan Tun Razak berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Institut Jantung Negara (IJN) dan menghala ke utara melalui Jalan Pahang dan Jalan 9/48A serta dihubungkan ke jajaran sedia ada Lebuhraya DUKE Fasa 1 dan Jalan Gombak di Persimpangan Bertingkat Sentul Pasar.

Majlis Pembukaan Jajaran itu disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof di Plaza Tol Sentul Tambahan, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir Ismail Md Salleh; Pengarah Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd, Tan Sri Lim Kang Hoo dan Pengarah Urusan Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL), Tan Sri Lim Keng Cheng.

Fadillah berkata, Lebuhraya DUKE Fasa 2 terbahagi kepada dua jajaran iaitu TRL dan Sri Damansara (SDL) dengan kos pembinaan keseluruhan sebanyak RM1.183 bilion.

Katanya, jajaran SDL yang kini di peringkat kerja akhir dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

“Ini adalah sebahagian daripada Lebuhraya DUKE Fasa 2 manakala satu lagi jajaran iaitu jajaran SDL dijangka siap menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Katanya, jajaran TRL itu bukan sahaja membantu menyuraikan trafik tetapi berupaya menghubungkan kawasan baru dengan lebuhraya sedia ada.

“Kawasan sekitar utara Kuala Lumpur terutamanya Gombak, Jalan Genting Klang, dan Bandar Baru Sentul akan mendapat akses kepada TRL Lebuhraya Duke Fasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 11:26 AM