WARGA asing yang dipercayai Rohingya yang meminta sedekah ketika solat Jumaat di sekitar Kuantan.
WARGA asing yang dipercayai Rohingya yang meminta sedekah ketika solat Jumaat di sekitar Kuantan.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuantan: Bayi seawal usia enam bulan digendong dan dibiarkan menangis demi meraih simpati umat Islam di sekitar bandar ini, terutama mereka yang pergi menunaikan solat Jumaat untuk menghulurkan sedekah.

Itu taktik digunakan beberapa wanita warga asing dipercayai daripada etnik Rohingya untuk mengemis di beberapa masjid untuk meraih ‘keuntungan’ segera.

Kumpulan wanita yang berumur antara 20 hingga 30-an itu tanpa segan silu menadah tangan dan membawa bekas plastik meminta sedekah dengan bermodalkan tangisan bayi dipercayai anak mereka.

Tinjauan Harian Metro bermula jam 12 tengah hari hingga 1.30 tengah hari, semalam mendapati waktu itu adalah peluang keemasan buat kumpulan wanita itu menjana pendapatan berlipat ganda hasil kemurahan hati orang ramai yang berkunjung ke masjid.

Berbekalkan pakaian selekeh serta wajah simpati, kumpulan wanita berkenaan tanpa rasa bersalah menggunakan bayi mereka untuk mendapatkan wang melalui cara mudah.

Wartawan sempat bertanyakan kepada seorang daripada mereka di sekitar kawasan Masjid Sultan Ahmad 1 (masjid negeri) mengenai kegiatan meminta sedekah mereka dan sebab ia dilakukan.

Wanita yang mahu dikenali Rahmah, 27, itu berkata dia tiba ke Malaysia sejak setahun lalu dan terpaksa mengemis disebabkan kesukaran memperoleh kerja.

“Susah cari kerja di sini (Kuantan) jadi hendak hidup saya terpaksa mengemis. Saya ada dua anak lagi yang perlu disara.

“Saya terpaksa bawa anak kecil kerana tiada siapa yang menjaganya. Jika hari baik (keadaan cuaca) saya boleh dapat RM300 hingga RM400 sehari iaitu pada hari Jumaat saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 5:00 AM