Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Sama ada menyembunyikan diri atau pengemis kanak-kanak dipercayai warga Rohingya sudah diselamatkan pihak berkuasa.

Itu kesimpulan yang dapat dibuat apabila pengemis cilik itu tidak kelihatan ketika tinjauan wartawan Harian Metro bersama jurugambar dan juruvideo, hari ini.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada kenyataan daripada pihak berkuasa mengesahkan sudah menahan kanak-kanak berkenaan.

Kami meninjau di sekitar ibu negara yang menjadi 'port' mereka mengemis termasuk persimpangan lampu isyarat berhampiran stesen LRT Wangsa Maju.

Kawasan itu bersih daripada aktiviti mengemis, bahkan tidak juga kelihatan pengemis dewasa.

Pemandu bas dikenali Din, 43, ketika ditemui berkata, sudah lama dia tidak melihat kelibat pengemis di kawasan sibuk itu.

"Tidak pasti sama ada mereka masih di sini atau sudah cari makan di tempat lain," katanya.

Keadaan di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur kelihatan lengang dari pengemis warga asing kanak kanak yang tular selepas bertindak kurang ajar ketika mengemis. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Keadaan di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur kelihatan lengang dari pengemis warga asing kanak kanak yang tular selepas bertindak kurang ajar ketika mengemis. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Tinjauan di Jalan Bukit Bintang dan sekitarnya juga kosong daripada peminta sedekah.

Hanya seorang wanita berkerusi roda kelihatan duduk sendirian di persimpangan berhadapan pusat beli belah di situ.

Usaha mendapatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) bagi mengulas kegiatan meminta sedekah itu sedang dilakukan.

Akhbar hari ini melaporkan kegiatan pengemis cilik dipercayai bukan warganegara yang meminta sedekah namun lagak seperti samseng apabila permintaan mereka tidak diendahkan.

Sebelum itu, tular di media sosial mengenai kanak-kanak itu yang dilihat mengetuk pintu kenderaan pengguna jalan dan berang apabila perbuatannya dirakam pemandu.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 5:01 PM