REMAJA yang ditahan mengambil dadah.
REMAJA yang ditahan mengambil dadah.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Hisap dadah ganja untuk hilangkan tekanan menjelang musim peperiksaan. Itu alasan diberikan sebahagian daripada tujuh pelajar kolej swasta di Cheras di sini, yang diberkas anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bahagian Cheras, semalam.

Semua mereka diberkas dalam operasi khas AADK di sebuah pangsapuri di Jalan Jejaka, Cheras di sini, sekitar jam 11 malam kelmarin.

Salah seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Halim, 19, berkata, peluang berjauhan daripada keluarga diambil peluang untuk ‘menuntut’ ilmu menagih dadah bagi mendapatkan keseronokan.

“Sebelum ini, saya tidak berjauhan daripada keluarga sejak kecil lagi. Pengalaman kali pertama tinggal berjauhan daripada keluarga bermula apabila menerima tawaran melanjutkan pelajaran di sini.

“Bermula dari situ saya diperkenalkan dengan ganja oleh rakan kolej,” katanya yang berasal dari Muar, Johor.

Sementara itu, seorang lagi pelajar kolej ditahan AADK, Taufiq, 20, berkata, penahanan itu adalah kali kedua selepas ditahan AADK bulan lalu.

“AADK pernah membuat serbuan di rumah sewa dihuni saya bersama 14 pelajar lain bulan lalu. Selain saya, beberapa rakan serumah lain turut ditahan bersama kerana didapati positif dadah jenis ganja.

“Saya tidak menyangka mereka membuat serbuan lagi memandangkan saya baru diberkas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 4:45 AM