KEADAAN kem etnik Rohingya di Cox’s Bazar.
KEADAAN kem etnik Rohingya di Cox’s Bazar.
Amir Abd Hamid dan Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Penderitaan masyarakat Rohingya bakal jadi parah jika gerakan militan Daish berjaya menyusup ke wilayah berkenaan, sekali gus memberi ‘lesen besar’ buat tentera kerajaan Myanmar melakukan serangan di Rakhine.

Kepemimpinan Daish di Syria dan Iraq melihat situasi di Rakhine serta penindasan Rohingya di wilayah mereka sebagai bonus untuk mencipta medan jihad kerana ramai pihak bersimpati terhadap nasib Rohingya.

Panel Pakar Rehabilitasi dan Deradikalisasi Pusat Kajian Jenayah Rentas Sempadan (UNICRI) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, maklumat pihaknya mendapati memang ada perancangan awal kepemimpinan Daish untuk menyusup di Rakhine.

“Apa yang kita tahu pada peringkat ini adalah mereka (kepemimpinan Daish) ada rancangan dan mereka dikatakan menggunakan laluan dari Iraq atau Syria menuju ke Afghanistan sebelum ke Pakistan dan Bangladesh.

“Apabila tiba di Bangladesh, perjalanan mereka dianggap selesai kerana negara itu mempunyai sempadan yang begitu poros dan mudah masuk ke wilayah Rakhine.

“Jika ini berlaku, bayangkan nasib masyarakat Rohingya. Sekarang ini, komuniti antarabangsa bersimpati dengan mereka,” katanya di sini, semalam.

Mohd Mizan berkata, jika Daish berjaya menubuhkan cawangan di Rakhine, ia memberi lesen besar kepada Myanmar dan negara itu boleh memohon bantuan daripada negara besar lain untuk menyerang Rakhine.

Menurutnya, semua pihak harus prihatin berhubung perkara itu kerana ia tidak mustahil bahkan ada perancangan daripada kepemimpinan Daish di Asia Barat masuk ke Rakhine.

“Ia bukan saja malapetaka besar untuk Rohingya yang dihimpit kekejaman tentera Myanmar, malah menjadikan rantau Asia Tenggara terdedah kepada ketidakstabilan politik dan keselamatan.

“Rakhine terletak begitu hampir dengan Malaysia dan Indonesia, malah ramai yang bersimpati berada di rantau ini. Daish pasti menggunakan elemen penyebaran gambar kekejaman yang berlaku terhadap Rohingya untuk meraih simpati umum serta membenarkan perjuangan mereka,” katanya.

Kelmarin, Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorisme Cawangan Khas (E8) Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan wujud cubaan rakyat Malaysia menjadikan krisis Rohingya di Myanmar sebagai medan jihad selepas kegagalan misi berkenaan di Asia Barat.

Polis mengesahkan memang wujud cubaan anggota kumpulan Daish menjadikan ketegangan di Rakhine, sebagai platform jihad mereka.

Ayob Khan dalam laporan itu berkata, anggota Daish melihat ketegangan di Rakhine membabitkan etnik Rohingya Islam sebagai medan baru buat mereka.

“Polis ada maklumat risikan berhubung kemungkinan itu dan kami memantau situasi ini termasuk rancangan mereka pergi ke Rakhine dan melaksanakan jihad.

“Apa yang terjadi di Rakhine ini masih baru dan polis berusaha mengumpul maklumat berhubung situasi itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 4:39 AM