HABIBI (empat kiri) menunjukan senjata tajam yang digunakan oleh penjenayah untuk menyamun. FOTO Yazit Razali
HABIBI (empat kiri) menunjukan senjata tajam yang digunakan oleh penjenayah untuk menyamun. FOTO Yazit Razali
Nurul Hidayah Bahaudin


PENGURUS kredit syarikat swasta ditahan selepas menyamun bank di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, Isnin lalu hingga menyebabkan kerugian RM46,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Habibi Manjiji berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di pusat beli belah di Jalan Imbi, 8.30 malam Rabu lalu.

"Berdasarkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati suspek menepati ciri-ciri fizikal penjenayah yang menyamun bank terbabit.

"Lelaki itu kemudian membawa anggota polis ke pejabatnya di Jalan Imbi. Pemeriksaan lanjut di lokasi itu menemui semula wang tunai hasil samun sebanyak RM13,950, pakaian digunakan ketika kejadian dan peralatan untuk menyamun bank berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap suspek mengakui dia melakukan jenayah itu bagi membayar hutangnya kepada pihak bank.

"Lebih RM13,000 wang tunai yang disamun suspek digunakan untuk membayar hutang kepada pihak bank.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula 14 hingga 20 September ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kejadian 11 September lalu, Habibi berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian samun di sebuah bank di Jalan Imbi kira-kira jam 12 tengah hari.

"Suspek yang memakai topeng muka menyamar sebagai pelanggan sebelum menghampiri kaunter dan mengeluarkan parang dari beg galas.

"Suspek kemudian mengarahkan dua petugas kaunter wanita yang berusia lingkungan 30-an untuk memasukkan wang tunai ke dalam beg galas itu sebelum melarikan diri.

"Ketika kejadian, tiada pelanggan berada di dalam premis berkenaan dan kedua-dua mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 6:25 PM