POLIS berkawal di luar sekolah berkenaan susulan insiden tikaman membabitkan pelajar dan guru. FOTO AFP
POLIS berkawal di luar sekolah berkenaan susulan insiden tikaman membabitkan pelajar dan guru. FOTO AFP
AFP

Paris: Seorang pelajar berusia 18 tahun ditahan di barat Perancis selepas menikam muka guru sekolahnya, sebelum melarikan diri, semalam.

Pihak berkuasa berkata, guru dari bandar Chemille-en-Anjou di barat Perancis itu mengalami kecederaan di muka.

"Kecederaan yang dialami tidak mengancam nyawa," kata kenyataan bersama pihak berkuasa termasuk polis dan pendakwa raya.

Selepas serangan di Lycee de l'Hyrome, pagi semalam, suspek segera keluar melalui tingkap dan meninggalkan senjata itu, menurut pihak berkuasa.

Dia kemudian ditahan oleh anggota polis dan polis perbandaran.

Pegawai itu dalam kenyataan berkata, remaja itu sebelum ini tidak dikenali oleh polis, sambil menambah bahawa kaunseling diberikan kepada murid dan guru selepas serangan itu.

Siasatan ke atas cubaan membunuh sudah dijalankan.

Perancis sejak beberapa tahun kebelakangan ini digemparkan dengan beberapa siri insiden sekolah yang membabitkan serangan ke atas guru, dan murid oleh rakan sebaya mereka.

Pada April lalu, Perdana Menteri Perancis Gabriel Attal mengumumkan langkah-langkah untuk membanteras keganasan remaja di dalam dan sekitar sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 10:03 AM