NADAL sedia kembali semula ke Paris bagi temasya Olimpik. FOTO AFP
NADAL sedia kembali semula ke Paris bagi temasya Olimpik. FOTO AFP
Reuters

Paris: Rafael Nadal tersingkir di Terbuka Perancis yang mungkin menjadi kali terakhir buatnya selepas tewas kepada Alexander Zverev 3-6, 6-7 (5/7), 3-6 di pusingan pertama dan berharap dapat kembali ke Roland Garros untuk Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya berharap dapat berjumpa dengan anda sekali lagi, tetapi saya tidak tahu bila," kata Nadal kepada penonton selepas kekalahan straight set.

"Ada peratusan besar saya tidak akan kembali ke sini tetapi saya tidak pasti 100%. Saya berharap untuk kembali ke gelanggang ini untuk Sukan Olimpik, yang memotivasikan saya."

Ini adalah kali ketiga sejak penampilan sulungnya di Roland Garros pada 2005, Nadal tidak dapat meraikan hari lahirnya pada 3 Jun di Paris.

Nadal bergelut untuk mencari rentaknya sejak awal, apabila pukulan drop yang sering dilakukannya terkandas di jaring dan melakukan double fault untuk memberikan Zverev memenangi permainan pembukaan.

Pemain Jerman itu terus memberi tekanan untuk memenangi set pertama walaupun Nadal cuba memberikan aksi terbaiknya dengan beberapa pukulan forehand yang berputar di garisan.

Sebaik Zverev meredakan tekanan Nadal berjaya meraih mata dengan kali pertama mematahkan servis lawan untuk mendahului 3-2 pada set kedua.

"Rafa! Rafa!" laungan yang diberikan penonton dan turut disertai pemain nombor satu dunia Iga Swiatek dan Novak Djokovic, serta rakan senegara dari Sepanyol, Carlos Alcaraz, memberi sokongan kepadanya.

Nadal membuat servis untuk memburu mata kemenangan tetapi Zverev menyamakan kedudukan dan memaksa aksi diheret ke tiebreak, yang dimenanginya dengan selesa.

Nadal sekali lagi dapat mematahkan servis lawan pada set ketiga, dan beberapa kali menunjukkan isyarat masih mampu melawan namun pemain Jerman itu terlalu bagus kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 9:18 AM