Kedai serbaneka yang disamun awal pagi tadi. FOTO Nor raidah Awang
Kedai serbaneka yang disamun awal pagi tadi. FOTO Nor raidah Awang
Nor Raidah Awang dan Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai : Dua lelaki bersenjatakan parang menyamun kedai serbaneka 24 jam di Jalan Siakap di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 1.35 pagi, dua suspek melarikan wang tunai, dua telefon bimbit dan rokok bernilai hampir RM1,000.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, berdasarkan siasatan awal suspek masuk ke premis itu sebelum mengeluarkan parang yang disembunyikan di dalam baju di belakang badan lalu menyamun premis itu termasuk dua pekerja di situ.

"Semakan pada CCTV (kamera kitar tertutup) mendapati dua suspek berkenaan melakukan samun di bahagian kaunter, namun tidak mencederakan pekerja.

"Suspek yang tidak menutup muka melarikan wang tunai, dua telefon bimbit dan rokok bernilai kira-kira RM974 sebelum melarikan diri," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, dua pekerja berusia 18 dan 23 mengakui tidak pernah melihat suspek sebelum ini.

Katanya, Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan tanpa senjata api.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2016 @ 5:47 PM