Habibi (tengah) menunjukkan komputer riba yang dirampas daripada sindiket ‘African Scam’. FOTO Nabihah Kamal.
Habibi (tengah) menunjukkan komputer riba yang dirampas daripada sindiket ‘African Scam’. FOTO Nabihah Kamal.
Oleh Nabihah Kamal


Kuala Lumpur: Dua warga Nigeria yang juga penuntut kolej di negara ini ditahan kerana terbabit dengan sindiket 'African Scam' di sekitar Subang Jaya, semalam.

Dalam serbuan pada 7 pagi itu, polis menyerbu sebuah kondominium dan menjumpai beberapa komputer riba yang digunakan sebagai alat untuk memperdaya mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Habibi Majinji berkata, seorang lelaki berusia 38 tahun ditipu sindiket berkenaan sehingga membabitkan kerugian ribuan ringgit.

"Suspek menggunakan taktik menyamar sebagai wanita sebelum meminta alamat mangsa untuk menghantar barang.

"Bagaimanapun, suspek meminta wang kerana mendakwa barang mereka disekat oleh pihak Kastam sebelum mengarahkan mangsa membuat tiga kali transaksi melalui satu akaun bank berjumlah yang RM47,730 bagi melepaskan barangan itu," katanya.

Menurutnya, mangsa curiga dengan permintaan suspek terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi.

Susulan itu, polis menahan dua individu yang bergiat aktif menjalankan kegiataan mereka di sekitar Lembah Klang.

"Kami masih memburu saki baki sindiket ini termasuk warga tempatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di IPD Dang Wangi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2015 @ 5:58 PM