Kalidevi Mogan Kumarappa dan Norizuan Shamsuddin

Klang: Ejen sindiket haram ‘Mat Bangladesh’ mampu palsukan kad sementara atau Enforcement Card (E-Kad) bagi mengelak diberkas pihak berkuasa.

Ini terbukti apabila 40 kes pemalsuan E-Kad dikesan sejak permohonan penggajian semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) diperkenalkan pada Februari lalu hingga kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pemalsuan licik itu dikesan selepas pihaknya menahan PATI yang menggunakan E-kad palsu hasil operasi dilakukan.

“Antara yang ditangkap seorang lelaki warga Bangladesh yang memegang lapan E-kad palsu sewaktu permulaan kad berkenaan dilancarkan.

“Individu yang ditahan menggunakan E-Kad palsu itu sudah dikenakan hukuman termasuk ejen yang membuat kad palsu berkenaan.

“Tindakan undang-undang juga akan dikenakan terhadap sesiapa saja yang mempunyai E-Kad palsu,” katanya selepas menyertai Operasi PATI di Kota Kemuning, semalam.

Mustafar berkata, pemalsuan E-Kad terbabit mudah dikesan berikutan kad tulen mempunyai sistem biometrik.

Katanya, biometrik terbabit sukar untuk dipalsukan berikutan mempunyai cap jari majikan, pekerja serta maklumat peribadi seperti tempat tinggal dan lokasi pekerjaan.

“Reka bentuk E-Kad palsu nampak sama tetapi Quick Response Code (QR Code) berbeza, cap jari majikan dan pekerja akan diambil. Jadi, dari situ kita dapat kesan palsu atau tidak,” katanya.

Mengulas berhubung operasi itu, Mustafar berkata, seramai 48 anggota imigresen dikerah dalam operasi mengesan PATI di dua lokasi di Sri Kembangan dan Kota Kemuning, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 6:44 AM