Zamri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas 11 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM23,100. FOTO Syafiq Ambak
Zamri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas 11 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM23,100. FOTO Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply


PENYELIA stor Ladang Ketengah Perwira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, atas 11 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM23,100 bermula Mei hingga Disember 2015 daripada pembekal barangan alat ganti dan baja.

Terdahulu, tertuduh, Zamri Jusoh, 55, mengangguk faham sebelum mohon dibicarakan ketika 11 pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibacakan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menerima rasuah sebanyak RM750 daripada pemilik Syarikat TP Parts & Machinery, Tham Mun Hing melalui akaun bank milik isterinya, Siti Noor Hiddayah Deraman sebagai upah selepas membuat perakuan terhadap beberapa dokumen pembekalan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ladang Ketengah Perwira Sdn Bhd Kemaman pada 13 Mei 2015.

Tertuduh turut berdepan 10 lagi pertuduhan sama apabila melakukan kesalahan sama di lokasi sama antara 4 Jun 2015 hingga 25 Disember 2015.

Bagi setiap kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Rofiah menetapkan 2 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi semua pertuduhan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 3:47 PM