Hamdan (kanan) dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana menggunakan wang palsu sebanyak RM100. FOTO Syafiq Ambak
Hamdan (kanan) dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana menggunakan wang palsu sebanyak RM100. FOTO Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana menggunakan wang palsu RM100.

Selain itu, tertuduh, Hamdan Ismail, 45, dari Kampung Limbong Darat Kubur Paka, Dungun turut berdepan hukuman penjara dua bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan kerana menggunakan wang palsu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan sekeping wang kertas palsu RM100 dengan mengetahui bahawa wang kertas itu adalah palsu di sebuah gerai di Jalan Besar Santong, Paka, Dungun.

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu pada 10.10 malam, 26 Jun lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Mohd Razali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 3:56 PM