AR Rahman pada sesi bertemu peminat. Foto Saifullizan Tamadi
AR Rahman pada sesi bertemu peminat. Foto Saifullizan Tamadi
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Sesi bertemu peminat maestro muzik tersohor India, AR Rahman, 57, gamat apabila komposer terbabit mendedahkan pengalamannya bersama penyanyi legenda, Michael Jackson di Los Angeles, Amerika Syarikat lebih sedekad lalu.

AR Rahman yang menjawab soalan peminat berkata, dia hampir berkolaborasi dengan Raja Pop dunia itu atas permintaan penyanyi terbabit sendiri.

Bagaimanapun kejadian pada 2009 itu tidak kesampaian apabila Michael Jackson meninggal dunia dua bulan selepas pertemuan berlangsung.

"Dalam pertemuan ini, Jackson menunjukkan minat bekerjasama dengan saya.

"Beliau suka dengan hasil kerja saya, manakala saya pula mengagumi apa yang dilakukan. Beliau mahu saya menghasilkan satu lagu berkaitan dengan perpaduan seperti lagu We Are The World.

"Namun, impian ini tidak kesampaian kerana beliau meninggal dunia selepas dua bulan kami bertemu," katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, malam tadi.

AR Rahman menjawab soalan peminat. Foto Saifullizan Tamadi
AR Rahman menjawab soalan peminat. Foto Saifullizan Tamadi

Program eksklusif ini diadakan sempena penganjuran Konsert AR Rahman Live in Kuala Lumpur 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 Julai ini.

AR Rahman turut mengimbas kisah menarik yang berlaku sebelum pertemuan dengan Jackson terjadi.

"Saya ada meminta ejen di Hollywood yang baru dilantik untuk menguruskan pertemuan dengan Jackson.

"Dia berjanji akan menguruskannya. Bagaimanapun, tiada sebarang maklum balas diterima selepas beberapa minggu.

"Bagaimanapun, selepas dua lagu saya tercalon dalam Anugerah Akademi atau Oscar barulah saya terima mesej mengatakan Jackson ingin berjumpa.

"Disebabkan kesibukan membuat persiapan kerana saya perlu mengadakan persembahan pada acara anugerah itu, saya menolak permintaan berkenaan.

"Saya hanya akan berjumpa dengan Jackson jika menang trofi Oscar dan sehari selepas menang, saya tunaikan janji bertemu dengannya.

"Beliau menyambut kedatangan saya dengan memakai gaya ikonik iaitu memakai sarung tangan dan bercermin mata. Beliau melayan saya dengan baik," katanya.

Menerusi program dihadiri 1,000 peminat ini, mereka diberikan peluang bertanyakan soalan dan dijawab oleh komposer terbabit.

Konsert AR Rahman Live in Kuala Lumpur 2024 dibawakan khas oleh Star Planet bakal disertai, antaranya Mano, Srinivas, Sri Rascol, Shweta Mohan, Shakthisree Gopalan, Blaaze dan ADK.

Penganjur juga akan mengumumkan penyanyi tambahan, tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 2:13 PM