GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah pada 3.0 peratus dalam mesyuarat dasar monetarinya yang akan datang pada 11 Julai, walaupun dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel baru-baru ini, kata Standard Chartered Bank (Singapore) Ltd (StanChart Singapore).

Bagaimanapun, katanya ia akan memantau sebarang perubahan terhadap prospek inflasi BNM berikutan rasionalisasi subsidi diesel yang dilaksanakan pada 10 Jun.

"Anggaran awal kami adalah impak sederhana 0.1 mata peratusan (ppt) terhadap inflasi berikutan ciri pemotongan subsidi yang disasarkan.

"Bagaimanapun, kami akan memerhati kesan pusingan kedua, terutama memandangkan mungkin terdapat rasionalisasi subsidi yang seterusnya dalam keadaan pemulihan pertumbuhan Malaysia," katanya dalam nota penyelidikan global hari ini.

StanChart Singapore berkata ia juga akan memantau perubahan dari segi penilaian BNM terhadap ringgit selepas bank pusat itu menerusi nota pada Mei berkata "ringgit pada masa ini tidak mencerminkan asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia."

Pada 9.05 pagi, ringgit tidak berubah pada 4.7070/7130 berbanding dolar Amerika Syarikat daripada 4.7065/7110 semasa ditutup pada Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 2:33 PM