ANGGOTA APM membantu mangsa banjir di pusat pemindahan SK Sungai Kecil Ulu. FOTO ihsan APM
ANGGOTA APM membantu mangsa banjir di pusat pemindahan SK Sungai Kecil Ulu. FOTO ihsan APM
KEADAAN banjir di daerah Bandar Baharu. FOTO ihsan Pejabat ADUN
KEADAAN banjir di daerah Bandar Baharu. FOTO ihsan Pejabat ADUN
Azahar Hashim


ENAM keluarga membabitkan 37 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Sungai Kecil Ulu, Bandar Baharu selepas rumah mereka dilanda banjir di Kampung Sungai Tepus dekat Bandar Baharu, malam tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kulim, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, 32 rumah membabitkan seramai 100 mangsa di kampung itu dilanda banjir.

Katanya, banjir berlaku selepas hujan lebat beberapa jam di kawasan terbabit.

"Banjir bermula 7 malam dan selepas menjalankan pemantauan di kawasan terbabit pihak kami kemudian menasihati penghuni yang berisiko supaya pindah ke pusat pemindahan sementara.

"Sehingga 11.53 malam hanya enam keluarga membabitkan 37 orang dipindahkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Sungai Kecil Ulu," katanya.

Beliau berkata, agensi yang terbabit dalam membantu mangsa banjir adalah APM, polis, Pejabat Daerah, Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu serta UMNo Bahagian Kulim/Bandar Baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 10:35 AM