ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) menyukat kedalaman air di Kampung Charok Dalam. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) menyukat kedalaman air di Kampung Charok Dalam. FOTO Ihsan APM
Nor Farhani Che Ad


SERAMAI 60 mangsa dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementera (PPS) berikutan banjir kilat yang melanda beberapa kampung di Bandar Baharu, semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim/Bandar Baharu, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, PPS Surau Kampung Charok Meranti dibuka bagi menempatkan 12 keluarga yang terjejas banjir kira-kira 8 malam semalam.

“Hujan lebat berterusan sejak 3 petang semalam menyebabkan beberapa rumah dinaiki air sedalam lebih semeter.

“Mereka yang dipindahkan membabitkan 35 mangsa daripada tujuh keluarga di Kampung Charok Meranti, 20 mangsa daripada empat keluarga di Kampung Sungai Pasir dan lima mangsa daripada satu keluarga di Kampung Sungai Batu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Fadhil berkata, bagaimanapun, situasi banjir di kawasan terbabit sudah kembali surut, namun mangsa belum dibenarkan pulang atas faktor keselamatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kira-kira 55 keluarga turut terjejas ekoran banjir kilat yang melanda di beberapa kawasan di daerah Kulim, semalam.

Antara kampung terjejas adalah Kampung Sri Bongsu, Kampung Banggol Penyengat dan Kampung Seberang Jaya.

“Tiada pusat pemindahan dibuka di daerah Kulim memandangkan banjir dalam keadaan terkawal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 10:36 AM