PIHAK berkuasa melakukan pemeriksaan di rumah mangsa. FOTO Ihsan APM
PIHAK berkuasa melakukan pemeriksaan di rumah mangsa. FOTO Ihsan APM
Nor Farhani Che Ad


WANITA warga emas ditemui lemas selepas rumahnya di Kampung Baru Air Merah, di Kulim, dinaiki air akibat banjir, semalam.

Mangsa, Hasnah Napiah, 80, ditemui anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam keadaan tertiarap di ruang tamu rumahnya, jam 9.30 malam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim/Bandar Baharu, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, wanita yang tinggal seorang diri itu ditemui ketika anggota APM sedang membuat pemantauan banjir di kampung terbabit.

“Ketika kerja pemantauan banjir dilakukan, anggota operasi mendapati rumah wanita warga emas itu dalam keadaan berkunci dari dalam.

“Dengan kebenaran waris, kita bertindak memecah pintu rumah mangsa sebelum menemui wanita warga emas itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ketika ditemui, mangsa sudah meninggal dunia.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Mohd Fadhil berkata, kira-kira 50 keluarga terjejas susulan banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah berkenaan.

“Hujan lebat selama lebih satu jam sejak 4.30 petang menyebabkan beberapa rumah penduduk ditenggelami air sedalam kira-kira satu meter.

“Antara kawasan terjejas adalah Kampung Padang Tembak, Kampung Baru Air Merah dan Taman Tunku Putra,” katanya.

Katanya, bagaimanapun, tiada pusat pemindahan dibuka kerana keadaan banjir sudah kembali surut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 8:22 AM