ANGGOTA sukarelawan membantu membersihkan rumah mangsa banjir.
ANGGOTA sukarelawan membantu membersihkan rumah mangsa banjir.
HM Digital

Bandar Baharu: Pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Kechil Ulu, di sini, ditutup sepenuhnya jam 1 tengah hari, selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kulim, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, pusat itu dibuka Ahad lalu dan menempatkan 66 mangsa banjir daripada 17 keluarga dari Kampung Sungai Tepus, dekat sini.

“Semua mangsa dibenarkan pulang oleh Pegawai Daerah Bandar Baharu, Mohd Fauzi Mustafa yang juga pengerusi bencana peringkat daerah selepas mendapat maklumat maklumat daripada pemantauan dijalankan pihak bertanggungjawab.

“Keadaan banjir pulih sepenuhnya dan penduduk dibenarkan pulang untuk menjalankan pembersihan di rumah masing-masing,” katanya dihubungi, semalam.

Beliau berkata, pada masa sama, 30 sukarelawan daripada pelbagai agensi kerajaan ‘turun padang’ bersama membersihkan rumah mangsa banjir terbabit yang digenangi air lumpur.

Katanya, sukarelawan terbabit daripada APM,Pejabat Daerah dan Tanah Bandar Baharu, Pejabat Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu serta Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu.

“Kerja pembersihan dilakukan bermula jam 10 pagi selepas beberapa mangsa daripada PPS pulang ke rumah untuk mencuci kediaman masing-masing.

“Pihak kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak terutama sukarelawan dan pejabat Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu dan ADUN Bandar Baharu yang memberi sumbangan kelengkapan untuk mencuci,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Muhamad Aizad Mukriz Zulkifli,15, berkata, dia sekeluarga lega dan berterima kasih atas bantuan sukarelawan terbabit yang membantu membersihkan rumahnya dengan cepat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 5:30 AM