BANJIR di Kampung Seputih, Mukim Bakai, Baling, malam tadi. FOTO Ihsan JKM.
BANJIR di Kampung Seputih, Mukim Bakai, Baling, malam tadi. FOTO Ihsan JKM.
Safuri Kamarudin dan Zuliaty Zulkiffli


HUJAN lebat sejak 6 petang semalam, menyebabkan Baling dan Kulim dilanda banjir kilat, malam tadi.

Di Baling, seramai 43 penduduk di Kampung Seputih, Mukim Bakai, terpaksa berpindah, selepas rumah mereka dinaiki air.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, hujan lebat menyebabkan air Sungai Ulu Tawar melimpah ke penempatan penduduk di sekitar kawasan itu.

Beliau berkata, berikutan itu, mangsa terdiri daripada 16 keluarga itu diarah berpindah ke Surau Al-Huda di kampung berkenaan apabila air mulai naik sehingga mencecah paras satu meter.

“Ini adalah kejadian banjir kali ketiga dalam tempoh dua minggu melanda di daerah ini.

“Apabila air naik sehingga satu meter, penduduk kemudian diarah berpindah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Menurutnya, penduduk berpindah sejak tengah malam tadi dan setakat ini hanya penduduk dari satu kampung sahaja yang berpindah.

“Mangsa menerima selimut, tikar, kain dan kit makanan.

“Semua agensi turut membantu membabitkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Bomba, Pejabat Daerah, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Kesihatan, Penghulu Mukim bagi memastikan keadaan terkawal dan selamat,” katanya.

Sementara itu, di Kulim, , hujan lebat menyebabkan lapan rumah penduduk di dua kampung di daerah itu ditenggelami air akibat banjir kilat.

Bagaimanapun, sehingga jam 6 pagi ini, air sudah pun surut sepenuhnya dan paras air sungai kembali normal.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim/Bandar Baharu, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, pada 10 malam tadi, kawasan terbabit dinaiki air sehingga 0.5 meter.

Beliau berkata, antara kampung terjejas termasuklah Kampung Baru Sungai Kob membabitkan dua keluarga, manakala Kampung Padang Limau membabitkan enam keluarga.

“Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan dibuka berikutan air surut sepenuhnya pagi ini.

“Namun, anggota kami bersiap sedia menghadapi kemungkinan sekiranya hujan lebat berterusan yang mungkin akan menyebabkan banjir kilat berlaku sekali lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kulim, Penghulu Mukim MPKK Komuniti, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Pejabat Parlimen dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 8:39 AM