MARIANI menunjukkan kuih karas yang dihasilkan.
MARIANI menunjukkan kuih karas yang dihasilkan.
MARIANI membuat kuih karas menggunakan acuan istimewa.
MARIANI membuat kuih karas menggunakan acuan istimewa.
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Kebanjiran pelbagai kuih moden dengan dekorasi menarik tidak menggugat legasi kuih tradisional yang diusahakan sejak sekian lama.

Malah, kuih tradisional mampu bertahan hingga kini dengan resipi turun temurun tanpa perlu banyak pengubahsuaian.

Ia dibuktikan kuih karas yang mempunyai peminat tersendiri dan pengusahanya menerima banyak tempahan menjelang musim perayaan.

Pembuat kuih karas Mariani Abdul Rani, 47, berkata, sekilogram adunan menghasilkan 160 keping kuih karas dalam satu masa biarpun proses pembuatan kuih tradisional itu rumit.

Menurutnya, bancuhan kuih karas sangat ringkas iaitu hanya menggunakan tepung beras dan air gula saja mengikut sukatan supaya urat kuih halus.

“Sekilo adunan memakan masa hampir empat jam dan saya terpaksa duduk untuk memudahkan kerja kerana acuan perlu disangkut untuk membuat bulatan bagi mendapatkan urat yang cantik.

“Biarpun bancuhan ringkas namun proses penyediaan menuntut kesabaran tinggi kerana kuih karas perlu di masak satu-satu dalam minyak yang tidak terlalu banyak, manakala api perlu dikawal sekata untuk mendapatkan warna yang cantik.

“Selepas kuih masak proses membentuknya pula perlu dibuat di dalam kuali untuk memudahkan ia dibentuk kerana selepas sejuk kuih akan keras namun rangup bila dimakan,” katanya di bengkel kuihnya di Kampung Padang Serai, Beruas, dekat sini.

Katanya, dia mengusahakan perniagaan itu sejak 15 tahun lalu menggunakan resipi keluarga yang diturunkan ibu, Chek Mah Yahya,69, berserta acuan pusaka peninggalan neneknya.

“Acuan kuih karas ini berusia lebih 60 tahun yang dibuat daripada tempurung yang ditebuk di bahagian bawah untuk menghasilkan urat yang halus namun tidak semua tempurung sesuai dijadikan acuan,” katanya.

Mariani berkata, selain kuih karas antara kuih tradisional yang dihasilkan adalah putu kacang, putu beras, bangkit kacang, jejari udang serta kuih moden lain seperti dahlia susu dan mazola.

“Saya memilih mengusahakan legasi kuih tradisional ini supaya ia tidak ditelan zaman kerana peminat kuih ini masih ada dan sambutan diterima menggalakkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 8:28 AM