KUIH lapis kacang merah dan Apam pisang sesuai untuk jamu tetamu.
KUIH lapis kacang merah dan Apam pisang sesuai untuk jamu tetamu.
Intan Mas Ayu Shahimi


MENIKMATI apam pisang sebagai hidangan minum petang pastinya mudah mengimbau kenangan zaman kecil dulu. Tidak cukup hidangan apam, tambah sekali kuih lapis kacang merah buat pelengkap hidangan sekeluarga.

Membuat kedua-dua juadah ini tidaklah sesukar mana. Bahan asasnya mudah didapati dan proses penyediaannya agak ringkas berbanding kuih tradisional lain. Cuma, untuk mendapatkan apam pisang yang gebu, resipinya haruslah tepat.

Kuih lapis kacang merah pula tidak banyak beza dengan resipi asli. Hanya tambah setin kacang merah dan rasanya pasti menjadi lebih enak. Sesekali mencuba resipi baru di dapur mungkin mencetuskan sorak riang anak-anak.

Andai menjangkakan kedatangan tetamu, lebih baik juadah disediakan lebih awal supaya sempat sejuk dan mudah dipotong untuk dihidang. Pilih sama ada hendak mencuba resipi apam pisang istimewa daripada Sharifah Nor Abdullah atau kuih lapis kacang merah daripada guru kolej vokasional, Mariam Jamilah Kamaruddin.

KUIH LAPIS KACANG MERAH

Bahan-bahan:

• 1 cawan gula

• 4 cawan air

• 1 1/2 cawan tepung gandum

• 1 1/2 cawan tepung ubi

• 300ml atau 1 1/2 cawan santan kotak

• 1 tin kacang merah

• Sedikit garam

Cara-caranya:

1. Masukkan semua bahan kecuali kacang merah ke dalam pengisar dan kisar hingga adunan sebati. Tapiskan adunan.

2. Tuangkan separuh adunan dalam mangkuk.

3. Masukkan kacang merah ke dalam adunan di dalam pengisar dan kisar hingga halus.

4. Tambahkan pewarna merah ke dalam adunan mengandungi kacang untuk nampak lebih cantik.

5. Panaskan loyang yang siap disapu minyak. Masukkan secawan bancuhan warna merah dan kukus lima minit.

6. Selepas tuang secawan adunan putih di atasnya dan kukus lagi. Lakukan secara berselang-seli hingga habis semua adunan.

7. Selepas siap dikukus, keluarkan kuih dari loyang dan tunggu sejuk sebelum dipotong

KUIH lapis kacang merah.
KUIH lapis kacang merah.

APAM PISANG

Bahan-bahan:

• 1 cawan pisang yang dilecek (pisang bantan)

• 1 cawan gula

• 2 cawan tepung gandum

• 1 cawan minyak jagung

• 3 biji telur saiz A

• 1 camca serbuk soda bikarbonat

• 1 camca serbuk penaik

• 1 camca esen pisang

• Secubit garam

Cara-caranya:

1. Ayak tepung bersama serbuk soda bikarbonat dan serbuk penaik

2. Kisar gula dan telur hingga gula hancur.

3. Masukkan esen pisang bersama pisang dan kisar seketika.

4. Masukkan tepung berselang-seli dengan minyak jagung.

5. Kisar adunan hingga sebati.

6. Kaup balik dengan spatula dan masukkan dalam acuan yang disapu minyak.

7. Kukus selama 40 minit dengan api sederhana.

APAM pisang.
APAM pisang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 1:27 PM