SITI Zahidah Ismail, 48, yang tidak lagi bertongkat ditemani rakan jemaah, Suraya Hashim & keratan laporan mengenai kesakitan Siti Zahidah dalam Harian Metro, pada 4 Ogos 2017. FOTO Nasharuddin Muhammad
SITI Zahidah Ismail, 48, yang tidak lagi bertongkat ditemani rakan jemaah, Suraya Hashim & keratan laporan mengenai kesakitan Siti Zahidah dalam Harian Metro, pada 4 Ogos 2017. FOTO Nasharuddin Muhammad
Nasharuddin Muhammad


BERKAT tidak jemu berdoa dan bermunajat di depan Kaabah, akhirnya keajaiban diharapkan jemaah wanita Malaysia dimakbulkan Allah.

Itu pengalaman dilalui Siti Zahidah Ismail, 48, dari Ampang, Selangor, yang datang ke Tanah Suci dengan bertongkat akibat sakit belakang kronik.

Malah, menurutnya, seminggu sebelum berangkat, doktor pakar yang ditemui turut memintanya menjalani rawatan fisioterapi sebagai persediaan.

"Kini, Alhamdulillah, berkat berdoa dan bermunajat kepada Allah di depan Kaabah, akhirnya permintaan saya dimakbulkan.

"Saya tidak lagi bertongkat. Dah boleh berjalan sendiri walaupun masih perlu pakai bengkung sebagai langkah keselamatan," katanya ketika ditemui di Kompleks Jamarat.

Siti Zahidah berkata, sebelum berangkat ke Tanah Suci sendirian tanpa ditemani waris, dia pernah bertekad mengupah orang untuk menolaknya dengan kerusi roda jika tidak mampu berjalan bagi melakukan ibadat.

Menurutnya, dia tiba di Madinah pada 3 Ogos lalu, sebelum bertolak ke Makkah pada 11 Ogos, dalam keadaan masih lagi perlu bertongkat.

Katanya, ketika di Makkah, dia berpeluang melakukan tawaf seterusnya berdoa dan solat sunat dalam kawasan Hijir Ismail.

"Ketika itu, saya tidak melepaskan peluang untuk berdoa semoga sakit tulang belakang pulih dan mampu berjalan seperti biasa.

"Alhamdulillah, akhirnya doa dan munajat saya dimakbulkan dan inilah keajaiban besar yang berlaku kepada saya dan bukti kebesaran dan kekuasaan Allah.

"Saya kini berjalan tanpa tongkat dari khemah di Mina berulang-alik sejauh lebih tujuh kilometer untuk melontar jamrah," katanya yang ditemani rakan jemaah, Suraya Hashim.

Katanya, ahli keluarganya di Malaysia juga sudah mengetahui keadaannya sekarang dan mereka nyata begitu gembira.

Kisah Siti Zahidah disiarkan Harian Metro, pada 4 Ogos lalu, ketika ahli keluarga menghantarnya untuk berangkat di Kompleks Lembaga Tabung Haji (TH) di Kelana Jaya.

Menurutnya, dia pernah mempunyai pilihan untuk membatalkan niat ke Tanah Suci.

“Tapi, rugilah jika menolak tawaran kerana semua orang memang mengimpikan Tanah Suci. Jadi, saya hanya berserah kepada Allah," katanya yang mula menderita sakit itu, kira-kira dua minggu sebelum menerima surat tawaran, pada November 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 5:43 PM