MANGSA meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. FOTO ihsan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
MANGSA meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. FOTO ihsan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI warganegara Bangladesh meninggal dunia selepas dipercayai ditikam dalam pergaduhan di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 9.30 pagi.

"Sebaik anggota polis tiba di lokasi kejadian, kami mendapati mangsa berusia 28 tahun sudah tiada dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HKL akibat cedera parah di bahagian perut dipercayai akibat ditikam dengan objek tajam," katanya.

Mohd Sukri berkata, punca kematian dan motif kejadian masih dalam siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pusat Kawalan Polis Dang Wangi di talian 03-26977099 atau balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 9:46 PM