Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Umat Islam kini perlu kreatif dalam memberi inovasi penganjuran program keagamaan supaya dapat menarik perhatian umum sekali gus menyertainya.

Penasihat Program Gema Wahyu Merdeka #QuranHour (MQH) Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berkata, dakwah masa kini memerlukan pendekatan yang begitu kreatif serta pelbagai supaya menarik minat masyarakat umum.

“Bagi tujuan ini, kita perlu lihat matlamat besar program iaitu apa yang hendak kita capai menerusi gerak kerja program mahupun kempen ini.

“Dalam MQH dan World #QuranHour (WQH), kita meletakkan matlamat supaya tahap interaksi masyarakat dengan al-Quran dapat dipertingkatkan di samping menyelitkan penghayatan di dalam kitab suci itu,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui, di sini, semalam.

WQH dan MQH akan bermula pada 31 Ogos di masjid terpilih seluruh negara sempena Wukuf di Arafah pada 9 Zulhijah yang kebetulan serentak Hari Kebangsaan.

Sepanjang program itu, bacaan ayat suci al-Quran akan diperdengarkan secara serentak selama satu jam. Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) menjadi antara rakan media rasmi program berkenaan.

Antara tokoh dan selebriti yang menyertai program ini adalah Ameng Spring, Johan A’saari dan beberapa ikon tempatan lain.

Ahmad Tarmizi berkata, kreativiti dalam memberi nafas baru untuk program agama ini sangat diperlukan supaya mesej dakwah ini sampai kepada sasarannya.

“Kita perlu berjiwa besar, berfikiran besar menyusun gerak dalam kerangka yang lebih utama iaitu penyampaian mesej dakwah.

“Tidak boleh lagi kita melihat sesuatu program itu, kononnya tidak pernah dibuat oleh Nabi Muhammad SAW, jadi ia bida’ah. Kita perlu keluar daripada dan tidak terperangkap dengan perbalahan hujah,” katanya.

Beliau berkata, program WQH dan MQH ini diharap dapat membentuk masyarakat supaya lebih mengingati dan menyampaikan mesej kepada umat Islam untuk kembali kepada al-Quran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2017 @ 6:19 AM