Siraj Mohd Zaini


HASIL rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat penyembelihan ayam di Jalan Bukit Kuda, Kampung Kuantan, Klang, semalam, mendapati suspek yang juga rakan mangsa dipercayai melakukan jenayah itu seorang diri.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, polis percaya suspek bertindak seorang diri pada Selasa lalu sehingga mengakibatkan mangsa, Syed Mohd Fazrul Syed Mohd Ridhuan, 24, dan bapa saudaranya, Wan Amir Abu Hassan, 48, terbunuh dengan kesan tetakan di seluruh badan.

Menurutnya, Proton Satria Neo milik mangsa juga dipercayai dilarikan oleh suspek.

"CCTV sudah dilihat, polis percaya suspek bertindak seorang diri.

"Satria Neo mangsa bersama wang gaji RM3,000 juga dilarikan suspek.

"Sekarang Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Klang Utara sedang meneliti rakaman CCTV di semua plaza tol bagi mengesan suspek," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, polis juga menahan tiga pekerja Bangladesh di premis terbabit bagi menyiasat pembabitan mereka di dalam kes berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari semalam, dua saudara itu ditemui mati dengan kesan tetakan di dalam sebuah bilik tidur dipercayai sudah dibunuh sejak dua hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 4:16 PM