HAMISAH  (tiga dari kiri) bersama ahli keluarga dan rakan.
HAMISAH (tiga dari kiri) bersama ahli keluarga dan rakan.

Kelana Jaya: Mereka bukan saja rapat sejak usia remaja, malah lapan rakan sekampung ini diberi kesempatan untuk sama-sama menunaikan haji tahun ini.

Cuma yang membezakan adalah jadual penerbangan mereka berlainan, namun tetap berjanji akan bertemu di depan Kaabah sebaik tiba di Tanah Suci.

Seorang daripada lapan rakan karib itu, Hamisah Hussain, 56, berasal dari Taiping, Perak, berkata tujuh rakannya yang lain tiba di Tanah Suci sejak beberapa hari lalu.

“Semuanya secara kebetulan cuma kami berniat jika diberikan kesempatan mahu menunaikan haji bersama pada tahun ini.

“Alhamdulillah, hajat dimakbulkan Allah apabila rakan lain sudah tiba di Tanah Suci dan saya pula yang terakhir menaiki penerbangan untuk menunaikan haji,” katanya ketika ditemui, di Kompleks Tabung Haji, di sini, semalam.

Ibu kepada enam anak berusia 18 hingga 37 tahun itu berkata, bagi merealisasikan impian berkenaan dia komited menyimpan wang sekurang-kurangnya RM400 sebulan sejak tujuh tahun lalu.

“Kami sepakat mahu mencukupkan tabungan masing-masing dan impian bagi menunaikan Rukun Islam kelima bersama membuatkan saya komited menyimpan wang.

“Selain itu, saya juga berhemah dalam perbelanjaan dan berbelanja apa yang perlu saja dalam tempoh menyimpan wang itu,” katanya.

Selain itu, sebagai persiapan, dia bersama rakan menghadiri kelas dan program yang dianjurkan oleh pihak Tabung Haji selain banyak bertanya kepada individu berpengalaman.

“Oleh sebab masing-masing kali pertama mahu menunaikan haji menyebabkan kami memperbanyakkan bacaan berkaitan haji supaya masing-masing mendapat haji mabrur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 4:29 AM