KUMPULAN jemaah Haji Malaysia Penerbangan Pertama (KT01) ke Tanah Suci di KLIA. FOTO Asyraf Hamzah
KUMPULAN jemaah Haji Malaysia Penerbangan Pertama (KT01) ke Tanah Suci di KLIA. FOTO Asyraf Hamzah
Syuhada Choo Abdullah


Madinah: Seramai 1,755 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Madinah melalui enam penerbangan sejak Ahad lalu hingga semalam dengan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin turut menerima panggilan sebagai Dhuyufurrahman tahun ini.

Beliau yang tiba bersama isteri, Datin Seri Suhana Tahir, menzahirkan rasa syukur dan menyifatkan Malaysia bertuah kerana memiliki Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai organisasi khusus memastikan pengurusan haji negara dapat berjalan lancar dan memudahkan jemaah.

"Pelaksanaan ibadah haji memerlukan ilmu dan kesungguhan. TH telah membantu persiapan jemaah untuk menunaikan haji, dengan penganjuran kursus dan program yang dilaksanakan dengan begitu tersusun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan rutin senaman ringan pada waktu pagi untuk penjagaan kesihatan, dengan berjalan lebih dua kilometer di sekitar Masjid Nabawi selepas menunaikan solat subuh.

Mohd Uzir menjelaskan, kekuatan mental dan fizikal amat penting dalam pelaksanaan ibadah haji, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas terik serta kering di Tanah Suci ketika ini.

"Jemaah yang mengerjakan haji terdiri daripada pelbagai latar belakang. Justeru, kita amat prihatin kepada warga emas yang mungkin kekurangan dari segi keupayaan fizikal. Kita mendoakan agar semua dapat melakukan ibadah dengan terbaik.

"Namun, kadang-kadang saya melihat cubaan atau ujian ini bukan pada kekuatan fizikal semata-mata, sebaliknya ia juga memerlukan kekuatan mental.

"Sebagai contoh ketika Ramadan, kadang-kadang jemaah yang solat tarawih 21 rakaat sampai habis witir itu sebahagian besarnya dilihat adalah golongan berumur. Dia ada kekuatan mental, tidak semestinya kekuatan fizikal," katanya yang turut menekankan kepentingan mematuhi nasihat pihak bertanggungjawab atau berkuasa sepanjang tempoh berada di Tanah Suci.

Beliau berkata, jemaah yang masih sihat dan cergas pula boleh menggunakan nikmat itu kerana amat penting untuk memanfaatkan kesempatan secara optimum dalam menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.

"Pada masa sama, juga amat penting untuk kita menjaga nama baik negara. Malaysia telah dikenali dengan jemaahnya yang bersikap lemah-lembut dan tidak melanggar peraturan ditetapkan," katanya.

Lebih-lebih lagi dengan kehadiran jutaan Dhuyufurrahman dari seluruh dunia untuk menunaikan haji di Tanah Suci pada tahun ini, beliau berkata, kebanyakan jemaah dipercayai sudah memahami dan bersedia menghadapi keadaan berasak ramai nanti.

Sementara itu, Masturah Zainal, 44, bersyukur selamat tiba di Madinah melalui kumpulan penerbangan (KT) empat, malam Ahad lalu.

Beliau yang juga seorang guru, gembira kerana urusan perjalanan jemaah lancar malah pengurusan teratur membolehkan mereka terus dibawa ke hotel sebaik saja tiba di lapangan terbang di Madinah tanpa perlu menunggu lama dan amat memberi kelegaan kepada jemaah haji khususnya warga emas.

"Saya melihat pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk kemudahan jemaah haji memang terbaik," katanya.

Masturah sekali gus bersyukur menerima tawaran menunaikan haji tahun ini kerana impiannya sejak berumur belasan tahun lagi kini menjadi kenyataan.

"Sejak berumur belasan tahun lagi, saya sudah meminta ibu bapa membuka akaun Tabung Haji, dan berusaha menabung sendiri demi mencapai impian mengerjakan haji. Ia adalah satu daripada Rukun Islam dan sejak kecil, saya melihat datuk dan nenek begitu berhasrat serta cukup seronok apabila dapat pergi menunaikan haji.

"Justeru setiap tahun, saya sanggup menabung duit raya dan tidak membelanjakan wang itu begitu saja demi mencapai impian itu," katanya yang mendaftar haji pada 2008.

Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Sukki Othman, yang turut menjadi Dhuyufurrahman tahun ini pula mengajak rakan jemaah untuk sama-sama meningkatkan persiapan dari segi ilmu agar dapat mengoptimumkan pelaksanaan ibadah di Tanah Suci, sekali gus meraih haji mabrur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 1:07 PM